Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menyeru ahli Umno untuk tidak terganggu jika ada pihak menggelarkan mereka sebagai 'UmDap' sebagai merujuk kepada kerajaan perpaduan yang turut disertai parti itu dan DAP.
Mengganggap label sedemikian sebagai politik murahan, dia menegaskan sebelum wujudnya 'UmDap' sebelum ini sudah ada 'PasDap' sebagai merujuk kerjasama antara PAS dan DAP ketika era Pakatan Rakyat.
"Kalau ada orang muda Melayu baru keluar universiti termakan bila orang kata kerajaan sekarang Umno bersama DAP tolong jawab sebelum ini sudah ada ‘PasDap’.
"Kena sebut itulah sejarah ‘PasDap’ sempat 11 bulan (jadi kerajaan Perak), selepas bertukar kerajaan dia berguling depan istana itupun mereka kata tak gila kuasa.
"Jadi orang Umno tidak boleh rasa rendah diri kalau orang sebut ‘UmDap’ sebab sebelum ini sudah ada ‘PasDap’," katanya dipetik Umno Online dalam ceramah penerangan isu-isu semasa di Lenggong, malam tadi.
Saarani yang juga pengerusi Umno Perak berkata sikap rasional dalam kalangan ahli memainkan peranan penting bagi memastikan parti ini terus kukuh mendepani cabaran dinamika politik.
"Orang Umno ini kena taat dan setia, janganlah kerana adik-adik kita tak jadi calon maka kita pun sama tumpang bersedih dan sama tumpang membuat sabotaj.
"Kita kehilangan kerusi kerana perbuatan sedemikian,” katanya dipetik sebagai berkata.