Amnesty International menuntut pihak berkuasa Iran untuk “segera dan tanpa syarat” membebaskan seorang pelajar perempuan yang ditangkap selepas menanggalkan pakaiannya sehingga menampakkan seluar dalamnya dalam apa yang disifatkan organisasi itu sebagai bantahan terhadap gangguan pemakaian yang ketat di negara itu.
Menurut akhbar The Guardian, insiden itu berlaku selepas wanita itu, yang tidak dikenali, dilaporkan berkonfrontasi dengan anggota pasukan separa tentera Basij yang mengoyakkan tudungnya dan pakaiannya di Universiti Islam Azad di Tehran.
Video yang tersebar di media sosial itu memaparkan wanita tersebut menanggalkan pakaiannya dan berjalan keluar dengan hanya pakaiannya dalamnya. Selepas itu, dia berjalan di hadapan orang ramai.
Video kedua menunjukkan wanita itu dimasukkan ke dalam sebuah kereta secara paksa oleh lelaki berpakaian biasa.
Saluran media sosial Buletin Amir Kabir melaporkan bahawa kejadian itu berpunca daripada gangguan yang dialami wanita tersebut daripada anggota Basij, paramiliter sukarelawan Iran.
Ia juga melaporkan bahawa wanita tersebut dipukul semasa tahanan.
Di Iran, wanita dikehendaki memakai tudung dan pakaian longgar sebagai kod pemakaian wajib. Individu boleh dikenakan hukuman berat walaupun bagi kesalahan kecil.
Gelombang protes terhadap kod pemakaian meletus di Iran sejak 2022 berikutan kematian Mahsa Amini, seorang wanita berusia 22 tahun yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis moral setelah ditangkap kerana didakwa tidak memakai tudung dengan betul.