Seorang anggota polis yang juga pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengaku bersalah atas dakwaan menyerang pemandu e-hailing orang kurang upaya, Ong Ing Keong.
Susulan itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendenda Muhammad Taufik Ismail RM1,00 kerana menyebabkan kecederaan terhadap Ong Ing Keong, 47, seorang pemandu pekak sekitar jam 11.40 pagi di hadapan lobi Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda tidak lebih RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, Taufik memohon maaf melalui peguamnya A Ashok.
“Pengakuan (bersalah) tertuduh menunjukkan dia menyesal dan insaf dengan perbuatannya itu. Dia juga ingin memohon maaf kepada mangsa dan keluarganya.
"Tertuduh sejak awal lagi telah memberi kerjasama kepada penyiasat dan juga pihak pendakwaan. Dia hadir ke mahkamah hari ini secara sukarela bagi menghadapi pertuduhan," kata peguam itu.
Dalam rayuannya untuk hukuman yang lebih ringan, Ashok memberitahu majistret Farah Nabihah Muhamad Dan bahawa rekod Taufik selama sembilan tahun berkhidmat dengan polis, adalah bersih dan hari ini adalah kesalahan pertama lans koperal itu.
Di sebalik itu, Ashok berkata, tertuduh masih bersedia mengaku bersalah walaupun pengakuan sedemikian mungkin akan menjejaskan kerjayanya sebagai Unit Tindakan Khas (UTK) di Bukit Aman.
Tambah peguam itu, Taufik merupakan anak sulung yang menanggung bapanya, yang berusia 73 tahun dan sedang menderita akibat strok dan tidak dapat berjalan, serta ibunya yang berusia 60 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi.
Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Razali Che Ani memohon hukuman pencegahan kerana kes itu adalah isu kepentingan awam dengan liputan meluas media.
Pendakwa raya menegaskan bahawa kes itu telah menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap kelakuan polis.
“Kami memohon hukuman penjara supaya bukan sahaja menjadi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat umum.
"Pengadu adalah seorang OKU (orang kurang upaya). Tertuduh sebagai anggota polis tidak sepatutnya mencederakan mangsa," kata DPP.
Nabihah kemudian menjatuhkan denda RM1,00 ke atas Taufik dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara 20 hari jika gagal membayar denda.
Difahamkan, Taufik sedang dalam proses membayar denda berkenaan hari ini.