Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi mimpi jumpa nabi: Apa yang nak kalut, tanya PAS
Diterbitkan:  Nov 4, 2024 12:37 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

PAS tegas mempertahankan presidennya Abdul Hadi Awang yang membawa kisah dia bertemu Nabi Muhammad SAW di dalam mimpi dan menegaskan bahawa tiada siapa yang memaksa ia mesti dipercayai.

Parti itu juga mengingatkan, apa yang diceritakan Ahli Parlimen Marang terbabit lebih bersifat perkongsian dalaman keluarga, iaitu antara seorang bapa untuk untuk anak-anaknya.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata terserah kepada orang ramai sama ada mahu mempercayai mimpi tersebut atau sebaliknya.

"Tiada siapa yang memaksa.

"Adapun kami sebagai 'anak-anak beliau' di dalam PAS, kami memilih untuk percaya. (Justeru) apa yang anda nak kalut?" katanya dalam kenyataan di media sosial semalam.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga memberitahu, Abdul Hadi mendedahkan kisah tersebut dalam program Ijtima Tarbawi yang diadakan di Kelantan.

Katanya, Abdul Hadi bercerita mengenai pengalaman mimpi tersebut juga bukan untuk memuja diri sendiri.

Terdahulu tular rakaman video ucapan Abdul Hadi yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad yang datang ke Rusila di Marang, Terengganu dan meminta ahli politik terbabit mendamaikan perbalahan di antara golongan Sunni dan Syiah.

Dipercayai mimpi tersebut dialami Abdul Hadi hampir 10 tahun lalu.

Perkuatkan azam, tekad

Ucapan bekas duta khas bertaraf menteri untuk Timur Tengah itu menarik perhatian ramai dengan pelbagai reaksi khususnya mereka di pihak yang tidak sehaluan dengan PAS.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Khairuddin Aman Razali, antara lain menjelaskan mimpi tidak boleh dijadikan hujah atau dalili untuk apa-apa tindakan.

Dia yang kini menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno menambah, dalam Islam mimpi yang baik datang daripada Allah SWT sebagaimana hadis sahih dan ia boleh ditafsirkan dengan kebaikan.

"Namun mimpi bukannya dalil dan hujah untuk sesuatu tindakan termasuk mimpi bertemu Rasulullah kerana sebagaimana para ulama mujtahid boleh tersilap dalam berijtihad, maka demikianlah juga para pantafsir mimpi juga boleh tersilap.

"Sekiranya Abu Bakar al-Siddiq pun boleh tersilap mentafsirkan mimpi yang baik apatah lagi selain beliau (Abdul Hadi)," katanya dalam satu hantaran dipercayai merujuk ucapan Abdul Hadi.

Ahmad Fadhli bagaimanapun turut bersependapat dengan penegasan bahawa mimpi tidak boleh dijadikan hujah dalam syarak.

Pun begitu, kata Ahmad Fadhli, jika apa yang didapati daripada mimpi tersebut selari dengan tuntutan agama, ia tidak mempunyai masalah.

"Menyuruh ke arah perpaduan ummah bukankah selari dengan tuntutan syarie? Jadi ia memperkuatkan azam dan tekad melaksanakan tuntutan Islam.

"Lainlah jika tiba-tiba mimpi tersebut mengarahkan sesuatu yang bertentangan dengan syarak.

“Contohnya, disuruh tinggalkan puasa pada Ramadan, atau tinggalkan solat, maka ia tidak terpakai kerana syarak telah meletakkan panduan dari awal, dan mimpi itu tidak boleh membatalkan syarak yang telah digariskan dari awal.

"Apa punya oranglah yang memakai gelaran 'ulama Umno' ni, patutlah tersasar jauh, rupanya memang pening dari awal," sindirnya.

Untuk rekod, kisah mimpi bertemu nabi bukanlah sesuatu yang baru membabitkan Abdul Hadi.

Sebelum ini Mursyidur Am PAS, Hashim Jasin, pernah menjelaskan bahawa presiden PAS terbabit adalah antara individu yang kerap bermimpi menemui Rasulullah SAW.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS