Paling Popular
Terkini

ULASAN l Rasanya tidak banyak orang faham atau peduli mengenai pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad dalam Fashion Valet Sdn Bhd.

Sebelum ini, minat dan pengetahuan umum mengenai Fashion Valet tertumpu kepada aspek fesyen dan taraf selebriti pengasasnya, Vivy Yusof, atau nama kelahirannya Vivy Sofinas Yusof.

Menurut cerita di ruang siber dan budaya popular (popular culture), Vivy Yusof ini terkenal sebagai ikon fesyen dengan rekaan jenama Duck dan Lilit. Akaun Instagram beliau mempunyai 1.8 juta pengikut.

Setelah jadi cerita, barulah kita tahu yang beliau adalah anak bekas pegawai kanan Anwar Ibrahim masa dia dalam Umno (1982-1998). Saya kenal beliau. Kita bagilah "benefit of the doubt" atau bersangka baik kepadanya. Tentu bukan semua orang yang berkaitan dengan orang besar-besar semuanya tidak baik.

Apabila kita tidak tahu asal usul pembeli saham Fashion Valet oleh Khazanah dan PNB, susah sikitlah hendak buat analisis. Adakah Khazanah dan PNB yang minta hendak beli atau Fashion Valet yang hendak jual untuk cari modal tambahan?

Kalau pengasas Fashion Valet tidak ambil modal Khazanah dan PNB itu sebagai keuntungan modal (capital gain) dan guna sendiri, ia tidaklah menjadi kesalahan.

Apatah lagi kalau ada bukti surat menyurat yang mereka guna duit itu untuk membesarkan perniagaan dan bukan untuk dapat balik modal (recover the cost).

Kita tidak ada kuasa ke atas pengasas dan pengurusan Fashion Valet tetapi kita ada hak ke atas Khazanah dan PNB sebagai tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Malah banyak daripada kita melabur dalam skim saham amanah anjuran PNB.

Sebab itu saya tidak setuju dengan jawapan Kementerian Kewangan mengenai isu ini seolah-olah meremehkan kerugian RM44 juta oleh Khazanah dan PNB itu.

Malah bunyi macam sombong dan anggap orang ramai bodoh dengan mengatakan kerugian itu kecil berbanding keseluruhan pendapatan Khazanah dan PNB.

Dalam rencana saya sebelum ini, saya kata, hatta satu sen pun ia tetap kerugian dan tidak harus diremehkan.

Apatah lagi kalau orang ramai tahu yang Khazanah pernah rugi berbilion-bilion ringgit dan pada tahun 2019 terpaksa melakukan penyusutan nilai aset (impairment) sebanyak RM7.3 bilion setelah mencatatkan kerugian operasi RM6.27 bilion pada tahun sebelumnya.

Berkenaan PNB pula, walaupun tahun lalu ia mencatatkan pendapatan bersih RM13.04 bilion berbanding RM10.38 bilion pada tahun kewangan 2022 tetapi harta bawah pengurusan (AUM) merosot 1.3 peratus kepada RM337 bilion. Ini mungkin akibat kerugian pelaburan.

Secara langsung atau melalui anak syarikat, PNB telah melabur dengan banyak dalam Sapura Energy Berhad dan memberi hutang yang besar kepadanya. Ada ramalan mengatakan ia bukan lagi pelaburan biasa tetapi sudah bertukar menjadi operasi penyelamatan ke atas syarikat minyak dan gas itu.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS