Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis pengiring pukul pemandu OKU akhirnya didakwa
Diterbitkan:  Nov 4, 2024 9:38 AM
Dikemaskini: 7:02 AM

Polis pengiring pemangku Sultan Johor yang dirakam kamera pemuka kereta menyerang pemandu e-hailing pekak Ong Ing Keong akhirnya dibawa ke muka pengadilan.

Menurut jurucakap polis, pegawai itu akan didakwa di Kuala Lumpur hari ini, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Susulan itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendenda Muhammad Taufik Ismail RM1,00 kerana menyebabkan kecederaan terhadap Ong, 47, seorang pemandu pekak sekitar jam 11.40 pagi di hadapan lobi Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, Taufik memohon maaf melalui peguamnya A Ashok.

“Pengakuan (bersalah) tertuduh menunjukkan dia menyesal dan insaf dengan perbuatannya itu. Dia juga ingin memohon maaf kepada mangsa dan keluarganya.

"Tertuduh sejak awal lagi telah memberi kerjasama kepada penyiasat dan juga pihak pendakwaan. Dia hadir ke mahkamah hari ini secara sukarela bagi menghadapi pertuduhan," kata peguam itu.

Dalam rayuannya untuk hukuman yang lebih ringan, Ashok memberitahu majistret Farah Nabihah Muhamad bahawa rekod Taufik selama sembilan tahun berkhidmat dengan polis, adalah bersih dan hari ini adalah kesalahan pertama lans koperal itu.

Selain itu, Ashok berkata, tertuduh masih bersedia mengaku bersalah walaupun pengakuan sedemikian mungkin akan menjejaskan kerjayanya sebagai Unit Tindakan Khas (UTK) di Bukit Aman.

Tambah peguam itu, Taufik merupakan anak sulung yang menanggung bapanya, yang berusia 73 tahun dan sedang menderita akibat strok dan tidak dapat berjalan, serta ibunya yang berusia 60 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Razali Che Ani memohon hukuman pencegahan kerana kes itu adalah isu kepentingan awam dengan liputan meluas media.

Pendakwa raya menegaskan bahawa kes itu telah menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap kelakuan polis.

“Kami memohon hukuman penjara supaya bukan sahaja menjadi pengajaran kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat umum.

"Pengadu adalah seorang OKU (orang kurang upaya). Tertuduh sebagai anggota polis tidak sepatutnya mencederakan mangsa," kata DPP.

Nabihah kemudian menjatuhkan denda RM1,00 ke atas Taufik dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Difahamkan, Taufik sedang dalam proses membayar denda berkenaan hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS