Di tengah-tengah politik perpecahan kaum dan agama yang semakin ketara, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli beralih kepada Kecerdasan Buatan (AI) untuk membina semula jambatan persahabatan.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram petang ini, timbalan presiden PKR itu mencuba teknologi suara AI untuk menyampaikan ucapan Deepavali dalam bahasa Tamil.
Pada masa sama, Rafizi menjelaskan umat Islam tidak perlu segan untuk mengucapkan selamat kepada mereka yang menyambut perayaan agama lain.
“Ada yang mungkin mempersendakan seorang Muslim dari Malaysia yang mengucapkan selamat Deepavali. Ada juga yang risau tindakan ini akan menjadikan saya kurang Muslim.
“Namun, Islam menggalakkan kita untuk mengucapkan selamat atas perayaan agama lain berdasarkan persahabatan.
“Selagi kita tidak menyertai upacara keagamaan, kita boleh menghadiri rumah terbuka dan perayaan sama seperti bukan Muslim yang hadir ke rumah terbuka kita tanpa menyertai solat,” tambahnya.
Rafizi juga menekankan persahabatan salah satu hubungan yang paling asas dan penting antara manusia.
“Kita patut menggalakkan perkongsian kegembiraan semasa musim perayaan penting… Semakin kita kurang takut dan kurang rasa benci kepada orang lain, semakin bertambah manusiawi diri kita,” tambahnya lagi.
Kata Rafizi jika eksperimen ini berjaya, dia akan meneruskan usaha menyelaraskan bibirnya dengan suara tersebut.
“Nilai dan komen jika suara itu kedengaran sama seperti suara saya,” katanya.
Jumaat lalu, Rafizi menegur Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria kerana menyemarakkan sentimen perkauman dengan kenyataan kontroversi 'mata, kulit, dan darah'.
"Tapi zaman sekarang, lebih mudah memainkan api perkauman untuk mendapat sokongan rakyat, lebih-lebih lagi atas nama melindungi Islam.
"Padahal Islam tidak pernah mengajar kita bermusuh atas saiz mata kita, atau warna kulit, atau warna darah kita,” kata Rafizi.
Razman sedang disiasat atas kenyataannya semasa berucap di Teluk Intan pada 26 Oktober pada satu demonstrasi membalas kejadian delegasi China mengibarkan bendera negaranya semasa Festival Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa dua hari sebelum itu.