Sistem kemasukan berasaskan merit untuk universiti sesuatu yang terpuji, namun ahli akademik Profesor Tajuddin Mohd Rasdi bimbang dengan nasib pelajar dari latar belakang yang kurang berkemampuan.
Mengambil maklum keputusan Sarawak memansuhkan sistem kuota di universiti milik negeri, Tajuddin mmenyoal kesan langkah berkenaan terhadap pelajar dari kawasan luar bandar.
"Adakah pelajar dari pedalaman dan pelbagai suku kaum berada pada tahap yang sama dengan rakan-rakan mereka di bandar?
"Adakah mereka mempunyai akses yang sama kepada alatan yang dapat meningkatkan prestasi akademik mereka, menjadikan persaingan dalam sistem merit ini adil buat mereka? Saya bimbangkan masa depan mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Profesor bidang seni bina itu berkata sistem kuota diperkenalkan atas tujuan kejuruteraan sosial tetapi disalahgunakan oleh ahli politik demi kepentingan mereka.
"Sistem kuota ini pada asalnya bertujuan untuk membantu pelajar dari kawasan pedalaman yang menghadapi cabaran dalam mendapatkan pendidikan asas.
"Ia bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki kehidupan mereka dan keluarga mereka.
"Ini matlamat yang mulia. Bagaimanapun, ia telah bertukar menjadi senjata politik perkauman demi meraih undi," tambahnya.
Tajuddin memberi contoh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan ramai pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi (T20) mendapat tempat di universiti tersebut.
"Ini tidak sepatutnya berlaku, namun ia tetap berlaku kerana ia memberi peluang kepada parti berasaskan kaum untuk menang dalam pilihan raya dengan bermain politik populis dan identiti," tambahnya.
Memetik buku Yang di-Pertua Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Tajuddin berkata Wan Junaidi berkongsi kisah bagaimana seorang guru sanggup meredah hutan untuk merekrut pelajar bagi kelas khas supaya mereka dapat bersaing dengan pelajar bandar yang lebih berada.
"Kisah ini juga sama dengan kartunis negara kita, Mohammad Nor bin Mohammad Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, yang berasal dari latar belakang yang sederhana," katanya lagi.
Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Annuar Rapaee (gambar atas) berkata hanya pelajar yang terbaik akan dipilih untuk melanjutkan pengajian di lima universiti milik negeri itu.
"Pelajar perlu menyedari kepentingan persaingan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti," tambahnya.
Lima universiti tersebut Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak, i-CATS University College dan Centre for Technology Excellence Sarawak.
Bagi memastikan pelajar luar bandar dapat melanjutkan pelajaran di universiti-universiti ini, Annuar berkata kerajaan Sarawak sedang menaik taraf kemudahan mereka, termasuk memperuntukkan RM15 juta setiap tahun untuk menyediakan tuisyen percuma bagi pelajar Tingkatan 3 dan 5.
Sistem kuota diperkenalkan melalui Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970-an, selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, dengan tujuan meningkatkan penglibatan bumiputera dalam pendidikan tinggi dan perniagaan.
Pada tahun 2002, kerajaan memansuhkan kemasukan berasaskan kaum ke universiti awam tetapi sistem kuota kekal di kolej matrikulasi dengan kuota 90 peratus untuk bumiputera manakala kursus asas tertentu dikhaskan untuk bumiputera.
Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sistem kuota perlu dikekalkan untuk mengekalkan keseimbangan kaum.
"Jika kita hapuskan sekarang, kita akan melihat ketidakseimbangan seperti yang berlaku di Universiti Malaya pada tahun 1970-an dan 1960-an," kata bekas pemimpin pelajar itu.
Perdana menteri turut menekankan pelajar bukan bumiputera yang cemerlang perlu mendapat peluang adil untuk memperoleh tempat di universiti tempatan.