Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN Sabah tak gentar, sedia tanding solo pada PRN
Diterbitkan:  Nov 3, 2024 1:30 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Barisan Nasional (BN) Sabah bersedia untuk berdiri sendiri pada pilihan raya negeri (PRN) ke-17 akan datang jika tiada persetujuan kerjasama dicapai dengan parti lain, kata pengerusinya Bung Moktar Radin.

Jelasnya, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata BN dan Pakatan Harapan (PH) telah membincangkan kemungkinan kerjasama, termasuk potensi kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bagi menghadapi PRN, yang dijangka berlangsung tahun depan.

“Bagaimanapun, kenyataan beberapa pemimpin tempatan dan parti mencadangkan mereka juga boleh mempertimbangkan untuk bertanding secara solo pada PRN negeri akan datang.

“Jika mereka memilih bergerak solo, BN dan Umno Sabah tidak akan menghalang.

"Sebaliknya, saya mengajak semua parti yang ingin bertanding secara solo agar bersiap sedia untuk menghadapi tentangan sengit dari kami,” kata pengerusi badan perhubungan Umno Sabah itu dipetik Bernama.

Bung menambah, BN Sabah dan Umno tidak gentar dan telah menyediakan jentera mereka untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Pada 27 Okt, Zahid berkata BN dan PH telah memuktamadkan kerjasama mereka untuk menghadapi PRN Sabah akan datang.

"Kita tidak pernah menutup pintu untuk menjalin kerjasama dengan gabungan parti-parti di Sabah ataupun mana-mana kerjasama dengan parti-parti yang ada di Sabah, dan kita juga tidak menggunakan pendekatan lama bahawa tidak ada sebarang peluang untuk mengadakan rundingan.

"Jadi apa yang diperkatakan oleh Bung Mokhtar itu adalah bersesuaian dengan landskap politik di Sabah dan disesuaikan dengan situasi politik di peringkat nasional," katanya.

Dia diminta mengulas kenyataan Bung mengenai rundingan tidak rasmi dengan PH Sabah untuk bekerjasama dengan BN bagi PRN selaras dengan pendekatan di Semenanjung Malaysia.

Zahid juga tidak menolak kemungkinan gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang kini menerajui Sabah, bekerjasama dengan BN-PH pada pilihan raya akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS