Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno gesa tubuh RCI siasat isu Fashion Valet, Nafas
Diterbitkan:  Nov 3, 2024 11:14 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Pemuda Umno menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kemelut Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) serta kerugian Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam pelaburan Fashion Valet.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana bertegas dalam isu yang ketika ini sedang menjadi polemik.

"Terima kasih PMX (Anwar) atas pendirian yang tegas ini. Untung rugi syarikat adalah perkara biasa, tetapi jika dana itu datangnya dari dana awam, maka satu siasatan yang telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada awam juga supaya ia dapat menjadi pengajaran pada masa akan datang.

"Maka kami cadangkan agar RCI dapat ditubuhkan untuk menyiasat dua perkara yang menjadi polemik negara ini

"Sama ada Fashion Valet ataupun Nafas jika ada salah laku yang wujud maka jangan biarkan waima seorang pun terlepas dari kartel-kartel yang menelan duit rakyat ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Semalam, SPRM dilapor telah melancarkan siasatan ke atas kerugian yang dialami oleh Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada pelaburan jutaan ringgit mereka dalam jenama fesyen tempatan Fashion Valet.

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki dilaporkan berkata dia telah mengarahkan siasatan ke atas perkara itu, yang dianggapnya membimbangkan kerana ia melibatkan dana dan kepentingan awam.

"Saya telah mengarahkan para pegawai saya untuk memulakan siasatan kerana perkara ini melibatkan isu dana dan kepentingan awam.

"Jadi siasatan perlu (dilakukan) sama ada terdapat unsur-unsur jenayah atau tidak... atau hal-hal lain berkaitan isu tatakelola," katanya, seperti dipetik Astro Awani.

Perdana Menteri pula mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta.

Anwar yang juga Pengerusi Khazanah berkata arahan tegas itu, sebagai memaknai pengumumannya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

SPRM juga sedang menyiasat Nafas, yang berada di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berhubung dakwaan penglibatan kartel dalam kontrak pengedaran dan pembekalan baja padi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS