Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mencabar pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Abu Hafiz Salleh Hudin untuk mengadakan dialog ilmiah.
Ini susulan kritikan keras Abu Hafiz terhadap kerajaan, menggesa Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na'im Mokhtar digantikan dengan tokoh lain bagi menangani kemelut isu RUU Mufti Wilayah 2024
"Maka wakil Aswaja telah menghubungi Dr Abu Hafiz... namun belum mendapat apa-apa respon beliau berkenaan dialog ilmiah bersama Ustaz Hafiz Al Za'farani (Haza) atau saya sendiri berkaitan RUU Mufti Wilayah.
"Jika tiada respon... pihak Aswaja akan terus mengeluarkan surat jemputan rasmi untuk menjemput beliau," kata Presiden Aswaja Zamihan Mat Zin pada satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, Abu Hafiz juga berkata kerajaan perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang "lebih baik" dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Abu Hafiz merujuk petikan video pendek penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai RUU berkenaan.
Terdahulu tular rakaman wawancara ringkas memaparkan Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah, menjelaskan mengapa RUU kontroversi itu menegaskan dua aliran saja untuk diiktiraf, iaitu Asha’irah dan al-Maturidiyah.
Antara lain Luqman (gambar bawah) berkata: “Jadi kalau kita katakan satu aliran, ia akan mengeluarkan aliran lain.
"Memang dari satu segi, ia mengeluarkan aliran lain yang sesat itu. Dan itu memang tujuan kita pun (iaitu) untuk memastikan tidak berlaku kemasukan aliran sesat ke dalam negara kita ini,” kata mufti itu.
Untuk rekod ada pihak beranggapan RUU tersebut sepatutnya tidak mengehadkan dua aliran saja untuk diterima dan ia perlu dilakukan untuk menunjukkan keterbukaan dasar negara dalam menguruskan agama.
Sementara itu, Zamihan berkata dia berharap agar Abu Hafiz dapat berhujah di gelanggang ilmiah dan bukan hanya beretorik di media sosial semata-mata.
"Amat mendukacitakan jika dialog ilmiah ini tidak dapat direalisasikan. Ustaz Haza sudah maklumkan persetujuan bagi pihak Aswaja Malaysia.
"Jangan anda fikir anda sebagai penasihat khas Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) bererti anda bebas mencabar institusi agama Islam di negara ini sesuka hati.
"Jom sahut debat demi kebenaran dan kemampanan agensi agama Islam di Wilayah Persekutuan," kata Zamihan.
Semalam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggesa semua pihak agar menghormati usaha kerajaan menggubal RUU Mufti Wilayah Persekutuan.
Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata rang undang-undang itu bertujuan memartabat serta memperkasakan institusi mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Semua pihak tegasnya, perlu menghentikan tindakan yang boleh menghasut atau menanam kebencian dalam kalangan masyarakat Islam.
Syed Kamarulzaman menjelaskan ini termasuk tindakan menyarankan penggantian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah yang tidak sepatutnya dibangkitkan.
Katanya, Mohd Na'im dan Luqman dilantik ke jawatan masing-masing oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan berdasarkan ilmu selain pengalaman luas mereka dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam.