Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thomas: Obsesi kaum, agama halangan perpaduan Malaysia

Obsesi Malaysia terhadap kaum dan agama menjadi halangan dalam usaha menyatukan rakyat sebagai satu bangsa, menurut bekas peguam negara Tommy Thomas.

Thomas mendakwa perubahan Malaysia sejak Merdeka sehingga sampai kepada keadaan "tidak dikenali" hari ini berlaku melalui pelbagai langkah kecil selama beberapa dekad, yang menimbulkan persoalan mengenai maksud sebenar "kontrak sosial."

“Apabila keutamaan satu kumpulan etnik dalam masyarakat majmuk (dengan fakta ia kumpulan kaum majoriti dalam masyarakat itu) menjadi sajian utama dalam media yang dikawal atau dipengaruhi oleh negara, ia memberi kesan yang melemahkan semangat kepada golongan minoriti.

“Obsesi terhadap kaum dan agama menjadi halangan besar yang merosakkan usaha menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa,” katanya pada pelancaran buku "Revisiting the Social Contract: the Malaysia Borneo Perspectives" di Petaling Jaya hari ini.

Thomas memuji penulis buku itu, Joe Samad, atas usahanya menukilkan perasaan rakyat Sabah dan Sarawak yang "dilayan seperti adik kecil atau sepupu yang miskin".

Thomas menjelaskan peristiwa dalam tempoh 70 tahun lalu mengubah kontrak sosial asal yang diimpikan oleh para pengasas Malaysia.

M'sia yang berbeza

Dia merujuk beberapa peristiwa utama yang telah membentuk Malaysia hari ini, menjadikannya sangat berbeza dari Malaya pada 1957 atau Malaysia pada 1963.

Ini termasuk tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969, penerapa nilai-nilai Islam oleh Umno pada tahun 1980-an untuk menyaingi PAS dalam meraih sokongan masyarakat, penyertaan Anwar Ibrahim dalam Umno dan dorongan untuk Islamisasi pada 1982, retorik “ketuanan Melayu” oleh Abdullah Ahmad Badawi pada 1986 serta Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan “Malaysia negara Islam” pada 2001.

Gambar fail, Kuala Lumpur selepas rusuhan 13 Mei 1969.

“Ia menunjukkan makna asal kontrak sosial semakin jauh dari keadaan semasa sehingga menjadikannya tidak bermakna lagi,” katanya.

“Memang wajar untuk bertanya jika istilah 'kontrak sosial' masih mempunyai erti pada hari ini,” katanya.

Selain itu, Thomas turut meluahkan kebimbangannya terhadap penyempitan ruang demokrasi dan ancaman terhadap kebebasan bersuara.

“Tindakan dan janji yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan apabila dipilih pada 2018 telah diabaikan. Reformasi telah lenyap,” ujarnya.

Thomas mengakui keadaan kelihatan suram, tetapi mengingatkan cabaran dalam sejarah sering bersifat kitaran.

“Oleh itu, Malaysia suatu hari nanti akan kembali menikmati hari-hari cerah dengan kebebasan dan ruang yang lebih untuk golongan minoriti, dengan penekanan yang kurang terhadap etnik dan agama.

"Itu mesti kekal sebagai harapan dan aspirasi kita,” katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS