Nasib enam calon yang bersaing bagi merebut tiga jawatan naib presiden Bersatu pada pemilihan parti itu akan ditentukan hari ini melalui persidangan bahagian-bahagian.
Dua penyandang, iaitu Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dalam cubaan mempertahankan jawatan mereka, manakala Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu turut akan cuba merebut satu lagi kerusi.
Tiga lagi calon ialah Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.
Bagaimanapun, keputusan rasmi bagi tiga jawatan naib presiden itu dijangka akan diketahui esok petang atau selewat-lewatnya pada Isnin serta bergantung kepada bantahan.
Menurut Jawatankuasa Pemilihan Bersatu lagi ini kerana proses pengundian akan berlangsung sehingga malam ini dan disusuli mesyuarat.
Turut dipertandingkan adalah jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan peringkat bahagian parti bagi penggal 2024-2027, yang sebelum ini dispekulasikan dengan kewujudan dua kem melibatkan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan kem Ketua Bersatu Selangor Mohamed Azmin Ali.
Bersatu sebelum ini dilaporkan menggantung sepuluh bahagian parti itu serta menangguhkan persidangan bahagian berkenaan sehingga notis lanjut.
Sepuluh bahagian tersebut adalah Kota Melaka, Hulu Langat, Jasin, Tapah, Teluk Intan, Machang, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong serta Cameron Highland.
Bagi jawatan presiden pula Muhyiddin Yassin diumumkan kekal menerajui parti itu manakala Setiausaha Agung parti, Hamzah Zainudin diumumkan menggantikan Faizal Azumu sebagai timbalan presiden.
Timbalan Ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin dinamakan ketua baru sayap itu selepas menang tanpa bertanding.
Turut menang tanpa saingan Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagi jawatan Naib Ketua Srikandi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham pula diumumkan sebagai Ketua Pemuda Bersatu selepas menewaskan pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir.
Manakala jawatan naib ketua Pemuda Bersatu pula dimenangi oleh Muhammad Faiz Rahmad. Dia memperolehi 1,790 undi dan mengalahkan Izhar Shah Arif Shah yang mendapat 1,287 undi dan Ad Adib Shaharuddin (490).
Jawatan pengerusi tetap diisi Muhamad Amerul Muhamad manakala timbalannya dimenangi oleh Mohd Firdaus
Bagaimanapun, keputusan rasmi bagi kesemua jawatan dipertandingkan hanya akan diumumkan sebaik selesai mesyuarat bahagian-bahagian parti itu di seluruh negara.