Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peja pernah tawar lepaskan jawatan Bersatu - Muhyiddin
Diterbitkan:  Nov 1, 2024 7:28 PM
Dikemaskini: Nov 14, 2024 10:27 AM

Timbalan Presiden Bersatu yang bakal bersara, Ahmad Faizal Azumu (Peja), pernah menawarkan untuk melepaskan jawatan parti apabila dicadangkan memberi laluan kepada Hamzah Zainudin pada pemilihan parti akan datang.

Menurut pengasas dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Perak itu pada awalnya tidak memahami perancangannya untuk parti.

Bekas perdana menteri itu berkata dia memilih Hamzah sebagai timbalan presiden Bersatu yang seterusnya kerana kedudukan ahli parlimen Larut itu sebagai ketua pembangkang dan pengalamannya sebagai setiausaha agung parti.

"Makna pengalaman (Hamzah) secocok dan sesuai kalau diberi tugas ambil tempat Datuk Peja yang sekarang ni menjadi timbalan.

"Bukan kita nak buat apa, Peja pun tak faham, dah bincang dia kata, tak apa saya bersedia berundur dan sebagainya.

"Tapi saya kata tidak payah berundurlah, berundur setapak saja, kalau boleh mengisi satu daripada kekosongan jawatan naib presiden,” kata Muhyiddin pada satu temu bual bersama Sinar Harian yang disiarkan di Facebook petang ini.

Pada bulan Julai, Muhyiddin mengumumkan “formula” untuk memastikan kesatuan menjelang pemilihan Bersatu, yang mana kepimpinan tertinggi parti bersetuju dengan senarai lima teratas yang akan datang.

Menurut cadangannya, Hamzah akan naik ke jawatan timbalan presiden manakala Faizal bersetuju untuk mengalah.

Faizal akan menawarkan dirinya untuk mengisi salah satu daripada tiga jawatan naib presiden parti yang kosong selepas penyandang, Mohd Rafiq Naizamohidden, keluar dari Bersatu pada 2022.

Dua penyandang naib presiden lain - Mohd Radzi Md Jidin dan Ronald Kiandee - juga akan mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti yang akan datang.

Namun, formula Muhyiddin tidak sepenuhnya mengikut perancangan.

Walaupun ahli Bersatu yang lain tidak bertanding jawatan dua tertinggi bagi membolehkan dia dan Hamzah menang tanpa bertanding namun enam calon bertanding bagi jawatan naib presiden.

Mengenai perkara ini, Muhyiddin dipetik Sinar Harian berkata ia sebahagian proses demokrasi dan parti tidak akan menghalang ahli yang layak daripada menggunakan hak mereka.

"Lepas saya dah buat keputusan, ada orang kata dia layak bertanding, kita tak sekat cuma tidak selari keputusan MPT, itu terserah kepada perwakilan buat keputusan.

"Masih ada pemilihan. Kalau tidak ada pemilihan langsung, itu dikatakan tiada demokrasi itu satu perkara saya fikirkan wajar kekalkan keharmonian, perpaduan dalam parti itu penting itu tidak boleh kita abaikan," katanya.

Mengenai khabar angin Bersatu berpecah kepada beberapa kem, Muhyiddin tidak menafikan kewujudan beberapa kumpulan dalam Bersatu tetapi menekankan ia tidak seteruk yang digambarkan seteru politiknya.

Menurut presiden Bersatu, menjadi perkara biasa bagi mana-mana parti politik untuk mempunyai kem-kem berbeza.

"Kalau tak ada agak orang kata tidak realistik. Tapi pasal ini cita-cita manusiawi lah, ya, mereka lebih selesa dengan pihak ni, mereka lebih kenal pihak itu, mereka tidak biasa dengan sana tu biasa.

"Tapi bagi saya yang penting bukan team, team itu. Penting adakah semangat kesatuan dan perpaduan itu masih wujud? Bagi saya sehingga hari ni masih ada.

"Dan saya sebagai dikatakan 'abah' ke atau pengasas pada parti ni, tidak melihat ada perbalahan ya ada? Atau perpecahan?

"Tapi media kat luar dengan ramalan, orang ni siapa nak lawan orang ni. Tak ada kan.

"Jadi itu bagi saya satu daripada orang kata cubaan mungkin pihak-pihak musuh parti yang suka nak melihat Bersatu ni berbalah dan berpecah," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan lain Muhyiddin menafikan dakwaan Bersatu parti politik yang lemah.

Menurut ahli parlimen Pagoh itu, Bersatu parti yang sangat muda berbanding parti lain tetapi sudah memiliki jumlah kerusi yang signifikan di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS