Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi ingatkan PAS - Islam tak ajar bermusuhan kerana mata, kulit, darah
Diterbitkan:  Nov 1, 2024 5:41 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan rasa bimbang dengan peredaran masa kini apabila melihat kebanyakan ahli politik lebih mudah memainkan api perkauman bagi mendapat sokongan rakyat, lebih-lebih lagi atas nama melindungi Islam.

Padahal, Rafizi yang juga menteri ekonomi berkata Islam tidak pernah mengajar umatnya bermusuh atas saiz mata, warna kulit mahu pun warna darah sekali pun.

Ini susulan dakwaan kenyataan berbaur hasutan yang dibuat pemimpin parti PAS, Razman Zakaria berhubung insiden perarakan mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan yang tular di media sosial, baru-baru ini.

“Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria membuat ucapan perkauman yang secara halus mengatakan orang Melayu mesti bersatu untuk melawan orang Cina.

“Yang saya pelik, dia nak kata yang mata sempit itu orang Cina, jadi yang mata bulat macam dia (Razman) adalah Melayu.Saya tenung-tenung gambar dia dengan Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen. Saya rasa mata mereka sama sempit dan semua bulat.

“Nak kata kulit dia gelap, tak adalah gelap sangat. Kulit dia lebih kurang sama je dengan rakyat Malaysia yang lain, sama ada Melayu atau Cina.

“Darah dia saya confirm warna merah, sama macam darah setiausaha agung DAP, Anthony Loke,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial di X (dahulunya Twitter).

Semasa perhimpunan di Menara Condong Teluk Intan, Perak pada Sabtu lalu, Razman mendesak supaya semua yang mata, kulit macam kita mesti bersatu.

Ia selepas sekumpulan warga China mengibarkan bendera republik itu pada perayaan Guan Gong di Teluk Intan, Khamis lalu.

Razman Zakaria

Bagaimanapun, Razman sejak itu menafikan bahawa dia berniat untuk menghina mana-mana kaum dengan kenyataan itu, dan mendakwa bahawa media telah menyalah tafsir kata-katanya.

Susulan kejadian itu, polis melancarkan siasatan terhadap perhimpunan itu. 

Pihak polis juga dilapor memaklumkan insiden pengibaran bendera China pada festival kebudayaan Guan Gong, dan mendapati penganjur bersalah.

Susulan kejadian itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu berdiri teguh dengan Razman dan lain-lain yang mengecam insiden tersebut tetapi tidak menyentuh kenyataan berbaur perkauman yang dibuat.

Mengulas lanjut, Rafizi juga berkata bahawa dia malu dengan kenyataan yang dibuat pesuruhjaya PAS Perak itu kerana sejarah Islam di China lebih lama berbanding Malaysia.

Menurutnya, jumlah orang Islam di China dijangka sekitar 30 juta hingga 50 juta orang bahkan lebih ramai berbanding bumiputera Islam di negara ini.

“Saya tak terkejut Razman terus buat kenyataan berbahaya seperti ini. Dia ada rekod buka mulut kena saman. Dengan PMX (Anwar Ibrahim) dia minta maaf. Dengan Lim Guan Eng, bayar saman kerana memfitnah.

“Saya terkejut sebab PAS masih kekalkan dia sebagai Pesuruhjaya PAS Perak. Rosak pemikiran anak muda ada wakil rakyat macam ini,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS