Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Makin matang, 50 tahun hubungan diplomatik M'sia-China

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang kini telah terjalin selama 50 tahun semakin menunjukkan tahap kematangan yang luar biasa, membolehkan kedua-dua negara menghadapi pelbagai isu dan cabaran bersama.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata kematangan hubungan itu semakin berkembang dan membolehkan kedua-dua negara menyelesaikan permasalahan berbangkit secara bersama dengan efektif.

"Dalam perjalanan hubungan antara kedua-dua negara, tidaklah selalu sempurna.

“Namun kedua-dua negara perlu menguruskannya dengan baik. Saya percaya, tahap persahabatan dan hubungan Malaysia dan China kini mencapai peringkat kematangan yang tinggi.

"Kedua-dua negara juga memberikan komitmen untuk terus bersahabat kerana China adalah antara jiran yang pembangunannya ada menguntungkan Malaysia," katanya ketika berkongsi perspektif berkenaan pada program Lawatan Delegasi Media Malaysia ke China sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, baru-baru ini.

Lawatan anjuran PPMC dari 24 hingga 29 Okt itu merupakan sebahagian daripada program pertukaran rakyat antara dua negara untuk memahami dan mengenali budaya, bahasa, teknologi, serta peranan media masing-masing.

Delegasi yang dipimpin oleh Abdul Majid dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai, terdiri daripada wakil media terkemuka termasuk Bernama, The Star, Berita Harian, Sinar Harian, Astro Awani, dan Sin Chew Jit Poh.

Selama lawatan tiga hari di Beijing, wakil media Malaysia berpeluang bertemu Pengarah Biro Komunikasi Antarabangsa Jabatan Propaganda Jawatankuasa Pusat PKC, Chen Dawei serta Timbalan Pengarah Jabatan Informasi Kementerian Luar China, Hu Jian.

Pertemuan itu memberi peluang kepada delegasi media memahami perkembangan terkini hubungan diplomatik, polisi semasa serta sektor ekonomi dan komunikasi China.

Delegasi seramai 11 orang itu juga berkesempatan bertemu dengan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, serta warga Kedutaan Malaysia di Beijing.

Wakil media Malaysia juga dibawa melawat organisasi media iaitu People's Daily dan China Media Group (CMG) untuk melihat sendiri pengoperasian selain bertukar pandangan mengenai amalan kewartawanan dan teknologi penyiaran terkini.

Dalam lawatan itu, Wong berkata media China turut menyuarakan hasrat untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kewartawanan.

Wakil media turut bertemu pelajar Malaysia di Beijing Jiaotong University bagi menyelami pengalaman mereka menuntut ilmu di negara Tembok Besar berkenaan selain berinteraksi dengan pelajar China yang mengambil kursus Pengajian Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Delegasi Malaysia seterusnya menuju ke Hangzhou, sebuah bandar di timur China bagi mengikuti beberapa program antaranya lawatan budaya di West Lake iaitu tapak warisan dunia UNESCO selain berkunjung ke Muzium Mutiara Air Tawar dan Bandar Barang Kemas (Jewelery City).

Lawatan itu diakhiri dengan pertemuan bersama wakil Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd dan Proton di ibu pejabat Geely Holding.

Abdul Majid berkata kunjungan ke beberapa lokasi itu diharap membuka lembaran baharu dalam mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-China untuk 50 tahun akan datang.

Beliau berkata hubungan akrab antara kedua-dua negara dilihat akan terus berkembang dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempelajari teknologi serta kepakaran dalam pelbagai bidang daripada China.

"Boleh dikatakan bahawa hubungan Malaysia-China telah mencapai kemuncaknya pada 2024, terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan juga pelancongan.

“Saya juga boleh katakan bahawa dalam bidang pendidikan, tahun ini kita menerima bilangan tertinggi kemasukan pelajar dari China ke beberapa universiti di Malaysia,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS