Sebanyak 39 kematian melibatkan 38 kes kemalangan maut direkodkan di seluruh negara dalam tempoh dua hari bermula Rabu lepas, sempena sambutan perayaan Deepavali.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 3,268 kes kemalangan jalan raya turut dicatatkan.
Beliau berkata dari segi pecahan, 15 kes kemalangan maut dengan 16 kematian melibatkan1,882 kes kemalangan dilaporkan berlaku pada Rabu dan semalam jumlah kes kemalangan maut meningkat kepada 23 dengan 23 kematian membabitkan keseluruhan 1,386 kes kemalangan.
“Dalam tempoh berkenaan, kematian paling ramai melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 32 orang dan selebihnya pemandu dan penumpang kenderaan lain seperti kereta, lori, basikal dan kenderaan pelbagai guna,” katanya ketika dihubungi.
Beliau sehubungan itu menyarankan pengguna jalan raya sentiasa memastikan kenderaan berada pada tahap terbaik serta mematuhi peraturan yang ditetapkan selain mengamalkan sikap bertimbang rasa dan bertolak ansur dengan pengguna kenderaan lain.
"Rancang pergerakan terutama perjalanan yang jauh dan peka dengan persekitaran sekeliling serta maklumat semasa disampaikan daripada pihak agensi kerajaan juga pihak konsesi lebuh raya," katanya.
- Bernama