Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan rasa "lemas" dan hairan melihat gelagat pihak pembangkang yang dianggap gigih membela golongan maha kaya.
Ketika mengulas mengenai perancangan kerajaan dalam penyasaran subsidi petrol, Anwar menjelaskan, perdebatan di parlimen menunjukkan ramai pihak pembangkang mempertahankan golongan T15.
“Kalau dengar perdebatan di parlimen saya dengar lemas juga, lebih ramai ahli parlimen yang berbicara pertahankan T15 daripada (nasib) rakyat yang 85 peratus di bawah kategori M40 dan B40.
“Saya rasa aneh, ada yang kata antimaha kaya.
"Saya bukan antimaha kaya. Saya cuma kata (disebabkan) kamu kaya janganlah sampai ambil subsidi (untuk golongan rakyat biasa), kamu kaya bayarlah.
“Kalau ke hospital kerajaan, pendapatan kamu RM100,000 sebulan, bayarlah sikit.
"Kalau di universiti, kalau ayah anda berpendapatan RM100,000 sebulan maka munasabah tak kita ambil sedikit daripada mereka yuran tambahan.
"Maknanya tidak semua kemudahan pelajar ditaja... saya rasa munasabah," katanya.
Perlu ada sumber cukup
Tambah perdana menteri, kerajaan berpendapat pendekatan sebegitu bukanlah bersifat diskriminasi sebaliknya wajar kerana berdasarkan kemampuan seseorang.
Tambahan pula, kata Anwar, bayaran yang dikenakan itu bukanlah tinggi untuk kalangan yang berpendapatan tinggi.
"Apakah dia (golongan T15) kena bayar dengan beban tinggi? Tidak, bayar ala kadar saja dan dengan ini pendapatan universiti juga bertambah.
"Dengan cara itu kita bantu (pelajar dari golongan) yang di bawah. Inilah falsafah kita,” katanya lagi.
Dia yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian dalam program Temu Anwar yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini ketika membentangkan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan langkah kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat.
Menurutnya, sesuatu yang tak dapat disangkal ialah warga asing dan golongan T15 menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 yang bernilai RM8 bilion.
Pada masa sama, kerajaan masih memperhalusi tafsiran kategori T15 dengan mengambil kira pendapatan bersih serta lokaliti supaya pelaksanaan berlaku dengan adil.
Kajian itu, antaranya bagi menaikkan ambang kumpulan T15 kepada mereka yang bergaji sekurang-kurangnya RM15,000 ke RM20,000 sebulan.
Mengulas lanjut mengenai dasar semasa kerajaan, Anwar turut menyangkal dakwaan dia bersikap seperti Robin Hood dalam susulan memperkenalkan penyasaran subsidi itu.
Sebaliknya, kata Anwar, langkah tersebut adalah tindakan yang dianggap adil untuk membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini.
“Jika kita nak jaga golongan miskin, kita mesti ada sumber yang cukup.
"Kita mewarisi hutang sehingga RM1.5 trillion dan kita tidak mahu kenakan cukai (baru) rakyat. Cuma kita kenakan cukai sedikit terhadap golongan maha kaya.
“Itu bukan Robin Hood, tetapi hanya menarik subsidi (untuk golongan berkemampuan),” katanya.
Tamba Anwar lagi, Malaysia adalah antara negara dalam dunia yang memberikan subsidi tertinggi dan pada masa sama melaksanakan sistem pencukaian terendah.
“Kerajaan cuma mahu mereka (T15) bayar harga kos, bukan bayaran tambahan.
"Bagi saya itu adil, kalau ada pihak yang nak jadikan isu politik, tidak adil dan tidak munasabah, itu kerana melibatkan perniagaan mereka,” tegasnya lagi.