Di pentas Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pagi ini, perdana menteri mengambil kesempatan dengan menyentuh kejadian buli membabitkan institusi pendidikan.
Anwar Ibrahim turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya jangan sekali-kali berkompromi dengan budaya samseng, buli dan gangsterisme.
Tegasnya, perkara itu harus dihentikan dan dipandang serius dalam usaha melahirkan generasi berketerampilan dan kepimpinan yang memiliki nilai, adab dan akhlak murni.
“Budaya samseng, buli, gangsterisme yang berlaku dalam sistem pendidikan sama ada di sekolah Cina, sekolah Tamil, maahad tahfiz, sekolah agama - ini satu kegilaan, kerana kita berbicara soal ilmu, tapi tiada akhlak dan nilai.
“Ini cabaran kita dalam program pendidikan. Nilai dan akhlak perlu ditekankan.
"Kelemahan kita ialah kerana kita mengambil sikap mengalah, toleran terhadap buli... ini tidak akan berlaku jika ada budaya menolaknya,” katanya semasa mengisi slot interaktif dengan penuntut UPNM di Kuala Lumpur.
Turut hadir Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, dan Naib Canselor UPNM Left Jen Mardzuki Muhammad.
Ketegasan Anwar itu diketengahkan ketika satu lagi kes buli dilaporkan berlaku di pusat pengajian tinggi awam terbabit beberapa hari lalu.
Semalam Malaysiakini melaporkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan siasatan kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior.
ATM dalam kenyataan mengesahkan kejadian itu melibatkan pelajar kadet yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap pada dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
Jumpa di Sungai Buloh
Sebelum ini negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang menjadi mangsa buli, pukul dan seksa.
Arwah meninggal dunia dengan hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.
Anwar hari ini turut memberitahu secara ringkas bahawa dia ada bertemu dengan pesalah kes buli berkenaan ketika berada di Penjara Sungai Buloh.
Mengupas kepentingan soal disiplin dan nilai, perdana menteri menegaskan disiplin adalah aspek maha penting di sesebuah universiti.
“Sebab itu disiplin dalam universiti itu maha penting.
"Saya sebut kepada naib canselor (PUNM) tadi, lima senior saudara yang di Sungai Buloh, saya kebetulan ‘training’ di Sungai Buloh, saya sempat jumpa mereka.
“Anak-anak itu baik, sopan, cerdik, tapi tak boleh lama (berjumpa) sebab dikawal rapi.
"Saya minta dengan pengawal yang agak simpati minta saya nak jumpa, apa masalah sampai macam tu sekali.
“Ini saya nak bagi pandangan supaya anak-anak betul-betul teliti. Ia kelompok kecil, bukan mewakili keseluruhan mahasiswa tetapi budaya itu mengizinkan (kejadian buli berlaku)),” katanya.
Sementara itu ketika ditemui media sebaik acara berakhir, Anwar berkata, kes buli yang baru dilaporkan berlaku di UPNM kini diuruskan oleh polis untuk tindakan lanjut.
“Itu urusan polis, saya bagi nasihat secara umum jangan berlaku di sekolah, sekolah menengah, maahad tahfiz, sekolah Cina, dan semua.
“Ini perlu dihentikan. Guru besar, pengetua, naib canselor, pengetua kolej juga harus bertanggungjawab untuk melihat bagaimana (untuk) hentikan budaya buruk ini.
"Terlalu banyak aduan, yang dapat (tahu) itu kalau kebetulan terbongkar di media sosial, tapi ini harus dihentikan, naya anak-anak,” jelasnya.