Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PPSM mahu semua hormati RUU Mufti Wilayah Persekutuan
Diterbitkan:  Nov 1, 2024 11:59 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menggesa semua pihak menghormati langkah kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan sebagai usaha mengangkat martabat dan kedudukan institusi berkenaan.

Presidennya, Abu Suffian Abu Yaziz, berkata PPSM juga menolak desakan supaya Menteri Agama, Mohd Nai’m Mokhtar, dan Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah, digantikan hanya kerana perbezaan pendekatan ijtihad.

Menurut Abu Suffian, perbezaan itu sewajarnya disantuni secara beradab, lebih-lebih lagi untuk merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad dalam kalangan umat Islam mutakhir ini.

“Sebagai sosok yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran Islam, kehakiman, perundangan syariah, pengurusan haji, umrah dan lain-lain, desakan sedemikian bukanlah suatu amalan yang sihat dan profesional dalam pengurusan dan kepimpinan organisasi.

“Melainkan jelas perkara tersebut melibatkan isu pelanggaran tata kelola atau terbukti tidak kompeten,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Abu Hafiz Salleh Hudin, melontarkan cadanngan agar kedua-dua tokoh terbabit digantikan kerana terkait dengan kontroversi berpanjangan RUU Mufti Wilayah Persekutuan.

Katanya, kerajaan perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang "lebih baik" dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut Abu Suffian, RUU Mufti Wilayah Persekutuan digubal berdasarkan lunas undang-undang dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, katanya, PPSM berharap semua pihak menghentikan tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan menteri dan mufti.

Katanya, menteri dan mufti terbabit sedang melaksanakan gagasan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran syariah Islam.

“Kembalikan semula sifat tasamuh dan adab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat Madani, serta ketepikan andaian yang bersifat dangkal dan sempit,” katanya.

Tambah Abu Suffian, PPSM mendukung prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam menyantuni perbezaan pandangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS