Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukti kukuh, bukan sentimen yang akan bebaskan Najib - Abu Talib
Diterbitkan:  Nov 1, 2024 10:23 AM
Dikemaskini: 2:23 AM

Aspek sentimen, kata bekas peguam negara, tidak akan membantu Najib Razak membebaskan dirinya daripada 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram apabila kes itu dibicarakan awal bulan depan.

Menurut Abu Talib Othman, bekas perdana menteri itu masih ada peluang dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan tersebut walaupun sudah diarah oleh mahkamah untuk membela diri.

Bagaimanapun, katanya, langkah yang diambil pasukan Najib mestilah secara berhati-hati sehingga dapat meyakinkan mahkamah bahawa bekas perdana menteri itu tidak bersalah.

Dia yang berkhidmat sebagai peguam negara antara 1980 hingga 1993 berkata, hala tuju kes Najib akan bergantung kepada kekuatan bukti yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan.

“Bagi mahkamah, keutamaan tetap pada bukti, bukan sentimen,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Abu Talib menegaskan bukti yang perlu dibawa mestilah bersifat komprehensif bagi menyanggah hujah daripada pihak pendakwaan.

Najib pada 30 Okt lalu diarah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membela diri atas 21 tuduhan pengubahan wang haram dan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.27 bilion.

Bekas perdana menteri berusia 71 tahun itu sedang menjalani hukuman penjara di Kajang ekoran sabitan terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram pada 2022.

Kes itu melibatkan danna sebanyak RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 24 Okt lalu Najib mengemukakan permohonan maaf terbuka ekoran pembabitannya dalam skandal 1MDB namun mengulangi penegasan bahawa dia tidak bersalah.

Kenyataan itu kemudian mendapat reaksi pelbagai daripada banyak pihak, termasuk bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang menyatakan bagaimana dia sudah menasihatkan Najib mengenai ahli perniagaan buruan polis, Jho Low, namun tidak diendahkan.

Bagi pertuduhan terkait 1MDB ini, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Abu Talib berkata peluang Najib untuk membebaskan diri akan bermula ketika dia memberikan keterangan bersumpah pada 2 Dis ini.

Pun begitu, kata Abu Talib, usaha tersebut akan bergantung kepada bukti yang akan dibawa sama ada memang benar atau cuma dongeng.

“Ini adalah peluang bagi Najib untuk menyampaikan keterangan dan mempertahankan dirinya jika beliau merasakan ada fakta yang boleh menyokong kedudukannya," kata Abu Talib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS