Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tak pernah bincang cadangan cukai langganan ChatGPT
Diterbitkan:  Oct 31, 2024 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Kerajaan tidak pernah membincangkan cadangan mengenakan cukai langganan ChatGPT seperti diperkatakan di media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Kata Fahmi, sebarang cadangan untuk memperkenalkan cukai baru perlu dibawa ke parlimen, bukannya hanya dibincangkan di peringkat kabinet.

“Setakat ini, kerajaan tak membincang perkara ini sama ada di jemaah menteri atau dalam kalangan menteri-menteri lain.

"Tiada perbincangan mengenai cadangan untuk mengenakan cukai (ChatGPT).

“Kita juga tak dengar perkara itu dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jadi bagi saya perkara itu tidak boleh dilayan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis dianjurkan Kementerian Digital itu turut dihadiri Anwar, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri.

Sementara itu Fahmi berkata Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) perlu diberi masa untuk menjelaskan kerugian RM43.9 juta dalam penjualan pelaburan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) pada harga RM3.1 juta.

“Kami sedang memantau isu ini... saya belum menerima laporan penuh mengenai perkara sebenarnya yang berlaku.

"Sudah tentu banyak orang mempunyai banyak soalan, dan saya rasa kita perlu memberi pihak-pihak berkenaan sedikit masa untuk memberikan respons secara rasmi.

“Isu ini timbul daripada respons parlimen yang diberikan. Jadi, saya rasa kita perlu memberi sedikit masa kepada mereka untuk menerangkan situasi yang berlaku, kerana ini melibatkan wang awam, dan tentunya ramai yang ingin tahu,” katanya.

Pada 29 Okt lalu, Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat mendedahkan Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta daripada penjualan pegangang minoriti mereka dalam FashionValet.

Khazanah melabur RM27 juta, manakala PNB melabur RM20 juta pada 2018 untuk mendapatkan pegangan minoriti dalam FashionValet.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS