Pergeseran Pemuda Bersatu dalam mempertikaikan keputusan pemilihan sayap itu kini mengancam untuk mengheret bekas ketua pemuda parti itu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ini selepas seorang bekas ketua sayap Pemuda berkongsi video mendakwa Wan Fayhsal pernah memperlekehkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semasa mesyuarat.
Dalam video yang dilihat oleh Malaysiakini, Adun Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata dia mendedahkan perkara ini dalam usaha mengumpulkan ahli parti untuk mempertahankan presiden parti.
“Perkara ini biarpun dah lama berlaku, dua tahun yang lalu, tetapi suka untuk diingatkan apabila ada yang tanyakan dalam situasi semasa ini, pentingnya untuk kita mempertahankan institusi presiden.
“Dan ya, memang sekitar dua tahun lalu Wan Ahmad Fayhsal pernah dalam mesyuarat Armada (Pemuda Bersatu), terpacul dari mulut beliau mengatakan bahawa ‘Muhyiddin Yassin tidak lagi relevan’.
"Ini adalah satu penyataan bahaya yang mana menurut hiruk-pikuk pemilihan Bersatu yang berlaku sekarang ini, seakannya terdapat agenda tersusun untuk menafikan kedudukan presiden (Muhyiddin)," kata Ashraf.
Ashraf menegaskan tiada agenda individu harus diletakkan di atas kepentingan parti.
Dia juga memberi amaran bahawa unsur-unsur seperti itu jika dibiarkan akhirnya akan memusnahkan Bersatu.
Justeru, dia menggesa orang lain yang berada dalam kepimpinan Pemuda Bersatu sebelum ini untuk turut mengesahkan bahawa Wan Fayhsal telah memperlekehkan Muhyiddin demi kestabilan parti.
Muhyiddin telah mengekalkan jawatan presiden Bersatu tanpa bertanding.
Wan Fayhsal kini bertanding untuk jawatan dalam Majlis Tertinggi Bersatu. Malaysiakini telah menghubungi ahli parlimen Machang itu untuk mengulas.
Ketika dihubungi, Ashraf mendedahkan dia berkongsi video itu secara dalaman dalam saluran Bersatu semalam, sejurus selepas jawatankuasa pemilihan parti mengumumkan bahawa Adun Gombak Setia Hilman Idham memenangi jawatan ketua Pemuda Bersatu.
Hilman merupakan sekutu rapat dengan Azmin Ali, yang membuat mencuri perhatian apabila tidak bertanding dalam pemilihan parti meski merupakan antara ahli politik berpengalaman.
Dalam satu kenyataan hari ini, Hilman berkata Pemuda Bersatu akan menuntut semula perjuangan pergerakan itu untuk masa depan parti.
“Sudah tiba masanya untuk seluruh kepimpinan Armada di semua peringkat khususnya yang telah dipilih, membingkai muafakat yang lebih erat demi pengukuhan Bersatu.
"Tidak ada mana-mana individu, atau pemimpin, yang kepentingannya lebih besar daripada kepentingan Bersatu sebagai wadah perjuangan kita,” katanya.
Dia membayangkan Pemuda Bersatu di bawah pimpinannya akan ditransformasikan dengan imej baru yang inklusif, dinamik dan progresif, dengan fokus ke arah kemenangan pilihan raya akan datang.
Keputusan saingan ketua Pemuda telah menimbulkan kekecewaan, kerana sebelum ini dilaporkan Akmal Zahin Zainal Zahir memenangi jawatan itu berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Naib ketua yang baru dilantik Faiz Rahmad adalah antara yang mempertikaikan keputusan rasmi, mendakwa berlaku penyelewengan dan campur tangan dalam proses itu.
Muhyiddin pada awal hari ini menggesa semua anggota Bersatu merapatkan barisan dan tidak berbalah berhubung pemilihan parti.