Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas enam menteri, pekerja estet Bestari Jaya akhirnya dapat rumah

Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming meluahkan rasa syukur apabila berjaya menyelesaikan isu pemilikan rumah membabitkan pekerja ladang di lima estet di Bestari Jaya yang berlarutan sejak 1998.

Nga berkata pembinaan melibatkan kediaman untuk 245 keluarga pekerja ladang itu akan dibuat di tanah berkeluasan kira-kira 20 ekar dan akan diberikan secara percuma kepada kesemua keluarga oleh Berjaya Corporation Berhad (BCB).

Lima ladang terbabit adalah Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak.

“Selepas 26 tahun dan enam menteri KPKT isu perumahan pekerja ladang ini dapat diselesaikan hari ini di ambang perayaan Deepavali kali ini.

“Walaupun pelbagai janji ditaburkan tapi janji hanya janji dan sehingga kini kita berjaya selesaikan masalah ini dan rakam ucapan terima kasih kepada perdana menteri.

“Kita tak cukup duit sebelum ini yang mana kos rumah terbabit menahan belanja RM75 juta dan selepas kita buat penjimatan kita dapat duit sikit tapi masih tak cukup.

“Tapi, apabila kita berjumpa perdana menteri tak sampai 30 saat beliau luluskan peruntukan sebanyak RM 20 juta manakala baki RM35 juta ditanggung kerajaan negeri dibawah menteri besar Selangor Amirudin Shari,’ katanya.

Nga berkata demikian ketika menghadiri majlis penyerahan kelulusan kebenaran merancang bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Harmoni Madani Bestari Jaya, Tanjung Karang di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, KPKT bersama dengan kerajaan negeri Selangor akan memastikan projek itui dapat direalisasikan dengan jangkaan mula pembinaan pada awal tahun hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2026.

Pada majlis itu, dia juga mengumumkan bahawa kabinet bersetuju untuk menjenamakan semula PPR sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) bermula awal tahun depan.

Katanya, penjenamaan semula tersebut dibuat bagi menjadikan kualiti perumahan rakyat setanding kemudahan disediakan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

“PRR ini adalah aspirasi dan penekanan kerajaan ke atas konsep kediaman bersifat bersepadu, kondusif, berdaya huni degan kualiti komersial, dilengkapi dengan pusat aktiviti masyarakat, zon hijau dan sebagainya supaya penduduk PRR dapat meningkatkan rasa kekitaan ke atas perumahan sosial ini.

“Selain itu, penjenamaan semula PRR juga diharap mampu membantu mengurangkan stigma dan persepsi negatif masyarakat ke atas komuniti PPR sedia ada serta meningkatkan imej program perumahan KPKT.

“Lokasi pembinaan PRR juga akan dikenal pasti di kawasan bandar dan pinggir bandar atau luar bandar dengan menitikberatkan aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, mampan, berdaya huni, dan pergerakkan dengan kemudahan awam,” katanya.

Mengulas lanjut, Nga berkata PRR baharu yang bakal dibina bermula tahun hadapan akan memberi penekanan kepada aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, kemampanan, berdaya huni dan pergerakan dengan kemudahan awam.

"PPR merupakan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi menteri kewangan pada 1995. Tahun depan genaplah 30 tahun, maka sudah sampai masa kita naik taraf.

"Penjenamaan semula program ini juga diharap mampu membantu mengurangkan stigma dan persepsi negatif masyarakat ke atas komuniti PPR sedia ada serta meningkatkan imej program perumahan," katanya.

Nga berkata PRR di kawasan bandar akan dibuka untuk disewa manakala pembangunan PRR di kawasan pinggir bandar termasuk luar bandar boleh dipertimbangkan bagi tujuan pemilikan.

Katanya, keluasan lantai kasar minimum bagi PRR ditetapkan pada 750 kaki persegi dengan harga jualan bermula RM60,000 seunit dan kadar sewaan bermula RM250 sebulan. 

"Peningkatan harga jualan sebanyak RM15,000 daripada ketetapan dasar penjualan rumah PPR sedia ada iaitu RM45,000, bertujuan untuk menampung kos penyelenggaraan dan memastikan elemen penambahbaikan dalam spesifikasi bersepadu akan diselia lebih kerap.

"Budaya ini akan membentuk sikap kebersamaan peserta di perumahan PRR supaya menghargai kemudahan dan harta bersama untuk kelestarian hidup di perumahan berkenaan," katanya.

Nga berkata antara penambahbaikan yang akan ditampilkan PRR termasuk ruang komuniti, kawalan akses di pintu masuk dan lif, penggunaan teknologi tenaga solar serta reka bentuk rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS