Nota editor: Versi terdahulu laporan ini tersilap menamakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips) sebagai pihak dalam permohonan semakan. Kesilapan itu amat dikesali.
Kerajaan negeri Perlis memohon semakan Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan status Islam tiga anak Loh Siew Hong yang diIslakan secara sepihak.
Permohonan semakan itu difailkan semalam.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam ibu tunggal itu, Shamsher Singh Thind mengesahkan semakan tersebut.
Shamsher berkata permohonan kebenaran semakan ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada 29 November ini.
Pada 14 Mei lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips)dan kerajaan Perlis untuk mengembalikan penukaran agama secara sepihak ke atas kanak-kanak itu pada 2020.
Rayuan itu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Jan lalu yang membenarkan rayuan Loh untuk membatalkan penukaran agama unilateral anak kembarnya yang berusia 15 tahun dan anak lelakinya yang berusia 12 tahun oleh bapa mualaf mereka Muhammad Nagahswaran Muniandy.
Ibu berusia 36 tahun itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei tahun lalu, yang menolak semakan kehakimannya yang menyasarkan kesahihan penukaran agama secara unilateral.