Menteri Luar Mohamad Hasan berseloroh dengan mengatakan Malaysia mungkin menghulurkan jemputan "balik kampung" kepada calon presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris, jika dia menang dalam pemilihan minggu depan.
Ini selepas orang kuat Donald Trump, Tucker Carlson menggelarkan Harris sebagai "orang Samoa-Malaysia" dalam satu perhimpunan politik.
"Terima kasih kerana membawa perkara ini kepada perhatian kami, Encik Carlson. Kami tidak menyedari bahawa seorang rakyat Malaysia bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat.
"Sekiranya Puan Kamala memenangi persaingan, kami berbesar hati menjemputnya pulang ke kampung dan menjamunya nasi goreng USA," katanya dalam satu nhantaran di Facebook, hari ini.
USA yang dirujuk dalam nasi goreng itu adalah singkatan kepada udang, sotong dan ayam yang lazimnya merupakan campuran lauk bagi hidangan nasi goreng dan tidak mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara.
Harris berketurunan India dan berkulit hitam.
Amerika Syarikat akan memilih presidennya pada 5 Nov depan.
Tinjauan semasa menunjukkan cabaran sengit antara Harris dan Trump dalam pemilihan itu.