Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kos lawatan Anwar ke luar lebih rendah ketimbang PM terdahulu
Diterbitkan:  Oct 30, 2024 1:57 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Kerajaan membelanjakan sejumlah RM13.7 juta bagi menampung kos 39 lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke luar negara sejak dia mengambil alih kuasa pada Nov 2022 hingga Okt tahun ini.

Hasil daripada perjalanan tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata, Anwar memperolehi RM353.6 bilion potensi pelaburan pada 2023 dan RM82.6 bilion sejak Jan lalu.

Dalam jawapan bertulis parlimen semalam, Zaliha berkata, kos perjalanan pegawai kerajaan ditanggung kementerian masing-masing, manakala anggota keselamatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya lawatan Anwar meliputi 22 negara iaitu Australia, Bangladesh, Brunei, Kemboja, China, Mesir, Jerman, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Laos, Pakistan, Filipina, Qatar, Rusia, Arab Saudi, Singapura, Thailand, Turki, Emiriah Arab Bersatu , Uzbekistan dan Vietnam.

Secara purata, tambah Zaliha, setiap perjalanan Anwar negara membelanjakan RM351,282 dan ia lebih rendah daripada apa yang diketahui mengenai kos perbelanjaan lawatan rasmi oleh empat perdana menteri terdahulu.

Tiada data diisytiharkan kepada umum berkait nilai yang dibelanjakan bagi menampung kos lawatan rasmi Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yassin semasa mereka menjadi perdana menteri.

Pentadbiran Ismail Sabri - terutamanya - tidak mengendahkan pertanyaan parlimen mengenai berapa banyak wang yang dibelanjakan untuk lawatan perdana menteri ke Jepun.

Tetapi, ketika pentadbiran kali kedua Dr Mahathir Mohamad, kerajaan membelanjakan RM14.3 juta untuk 22 lawatan perdana menteri dari Mei 2018 hingga Julai 2019.

Kos itu menjadikan puratanya kira-kira RM650,000 bagi setiap perjalanan.

Sementara itu, semasa pentadbiran Najib Razak, kira-kira RM1 juta (AS$247,352) dibelanjakan untuk delegasi Malaysia ke AS - termasuk Najib - menginap di Trump International Hotel.

Jumlah kos perjalanan ke AS itu dan lawatan rasmi lain dilakukan Najib pada 2017 tidak diketahui.

Pada 2016, Jabatan Perdana Menteri (JPM) enggan mendedahkan jumlah yang dibelanjakan untuk lawatan kerja Najib ke luar negara pada 2015.

Kemudian menteri di JPM ketika itu, Azalina Othman Said hanya berkata bahawa lawatan rasmi Najib pada 2015 dan 2016 telah mengambil kira "perbelanjaan berhemat".

Antara Mac 2008 dan Mei 2013 pula, parlimen diberitahu, RM44.07 juta dibelanjakan untuk perjalanan Najib ke luar negara. Bagaimanapun, jumlah perjalanannya pula tidak didedahkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS