Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Najib akan panjang, jangan ada 'kompromi tahanan rumah'- Bersih
Diterbitkan:  Oct 30, 2024 1:12 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

Bersih menjangkakan kes Najib Razak akan memakan masa di mahkamah dan oleh itu tidak harus terdapat “kompromi untuk dibebaskan seperti tahanan rumah”. 

Kumpulan pendesak reformasi sistem pilihan raya itu berkata demikian selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib dalam kes 1MDB.

Bersih berkata sebarang kompromi akan menjelaskan ketempangan dalam sistem keadilan apabila wujud perbezaan dua darjat antara sesama warga. 

“Sebarang usaha pembebasan akan menidakkan peranan hakim dan institusi awam yang telah menjalankan amanah mereka dalam mengadili bekas perdana menteri itu melalui proses perundangan. 

“Usaha ini harus dinoktahkan dengan keputusan hakim hari ini,” kata Bersih yang menyambut baik keputusan mahkamah hari ini.

Minggu lepas, Fahmi Fadzil menolak dakwaan penggubalan rang undang-undang tahanan rumah mempunyai kaitan dengan mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri.

Jurucakap kerajaan berkata kajian berkaitan telah dilakukan tahun lalu.

“Konsep akta itu bermaksud peralihan daripada punitif kepada pemulihan keadilan yang mana seseorang individu yang telah didapati bersalah kembali ke dalam komuniti,” katanya .

Najib Razak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Mahkamah mendapati pertuduhan terhadap tertuduh adalah sah dan betul dari segi undang-undang. 

Sementara itu, Bersih juga berkata skandal 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International adalah kesan kegagalan sistem dan institusi penguatkuasaan undang-undang pada masa lalu.

Bagaimanapun, kata gabungan itu, belum ada sebarang pelaksanaan reformasi institusi yang meluas bagi memperbetulkan keadaan tersebut. 

“Reformasi institusi seperti pelantikan ketua SPRM dan pemisahan peguam negara dan pendakwa raya perlu disegerakan untuk mencegah 1MDB 2.0,” katanya.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Lembaga Pengampunan bagaimanapun meringankan hukumannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS