Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di sebalik protes, Muhyiddin gesa Pemuda Bersatu rapatkan saf
Diterbitkan:  Oct 30, 2024 11:39 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menggesa kepimpinan partinya sama ada yang menang atau kalah dalam pemilihan sayap parti supaya merapatkan saf dan memperkukuhkan perpaduan.

Seruan itu muncul di sebalik protes oleh sayap Pemuda, apabila naib ketua yang baru dipilih Faiz Rahmad tampil mempertikaikan keputusan pemilihan.

Gambar Hiasan - Akmal Zahin bersama Hilman

Dalam satu kenyataan semalam, Faiz mendakwa wujudnya campur tangan, penyelewengan dan mempertikaikan keputusan yang diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan parti (JPP).

Ini termasuk dakwaan beberapa bahagian dihalang daripada mengundi, atau mengalami lonjakan jumlah mendadak ahli yang layak untuk membuang undi.

"Persoalan pertama yang wajib dijawab oleh JPP adakah proses pemilihan kali ini benar-benar telus atau adakah terdapat sebarang rancangan atau campur tangan indiidu tertentu dengan agenda peribadi bagi menentukan keputusan pemilihan Pemuda Bersatu," kata Faiz.

Semalam JPP mengumumkan Adun Gombak Setia, Hilman Idham memenangi jawatan ketua Pemuda (Armada) Bersatu menewaskan pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir.

Hilman yang diketahui sebagai rapat dengan Azmin Ali - seorang pemimpin Bersatu terkemuka bagaimanapun tidak mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini.

Keputusan saingan ketua Pemuda menimbulkan kekecewaan, kerana sebelum ini dilaporkan Akmal Zahin telah memenangi jawatan itu berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Dalam kedua-dua keputusan rasmi dan tidak rasmi, persaingannya dilihat sengit dengan perbezaan undi yang tipis.

Muhyiddin dalam kenyataannya hari ini berharap pimpinan menerima keputusan pemilihan berkenaan.

"Kepada yang tidak terpilih, terimalah keputusan ini dengan baik dan berlapang dada.

“Baik yang menang atau kalah, tanggungjawab kita selepas ini adalah untuk rapatkan saf, perkukuhkan perpaduan dan teruskan perjuangan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS