Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Deepavali: Aliran trafik terkawal walau kenderaan bertambah
Diterbitkan:  Oct 30, 2024 10:00 AM
Dikemaskini: 2:42 AM

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan terkawal walaupun jumlah kenderaan bertambah setakat 9 pagi tadi.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan trafik masih lagi terkawal di sekitar Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2, serta Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) E2 menghala Johor.

Menurutnya lagi, terdapat pertambahan trafik di sekitar Bidor ke Tapah, Tapah ke Gopeng dan Seberang Jaya ke Perai.

“Terdapat juga kesesakan di Lebuhraya Lembah Klang, Lebuhraya Elite dari Putra Height ke Seafield.

“Sementara itu, di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) arah Utara, trafik semakin bertambah dari Puchong Utama ke Puchong Intan, Plaza Tol PJS ke Jambatan Kabel, Kelana Jaya ke SS2 dan Plaza Tol Penchala ke Taman Tun Dr Ismail,” katanya kepada Bernama.

Jurucakap itu memaklumkan di Lebuhraya Sprint, trafik mula bertambah dari persimpangan Mont Kiara susur keluar ke Kayu Ara.

“Bagi kemalangan pula, pagi ini dilaporkan berlaku kemalangan di KM 86.1 Karak-Lanchang (arah Kuantan) dengan lorong kanan terhalang pada jam 7.26 pagi.

“Sementara itu, pada 8.15 pagi tadi, dilaporkan trafik perlahan susulan kebakaran kenderaan di persimpangam Senawang arah Selatan dari Port Dickson ke Senawang,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS