Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pendukung Najib berkumpul di Kompleks Mahkamah KL
Diterbitkan:  Oct 30, 2024 8:35 AM
Dikemaskini: 4:19 AM

Penyokong Najib Razak - yang juga dikenali sebagai Bossku - berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan sesetengahnya menunjukkan dukungan melalui pakaian atau aksesori pada badan masing-masing.

Sebahagian daripada mereka juga melaungkan takbir serta "Bebaskan Najib" sebagai tanda semangat.

Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada bekas perdana menteri itu perlu menjawab 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bernilai RM2.27 bilion dana 1MDB atau sebaliknya.

Najib mungkin dilepas dan dibebaskan jika hakim mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie ke atas ahli politik yang kini meringkuk di Penjara Kajang itu.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyeru penyokong Najib untuk hadir di mahkamah sebagai tanda sokongan moral kepadanya.

Untuk rekod Najib kini sedang dalam proses memohon semakan kehakiman berhubung dakwaan wujudnya adendum mengenai tahanan dalam rumah untuknya.

Pada 3 Julai lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman berhubung adendum tersebut selepas memutuskan empat afidavit yang menyokong tuntutannya - termasuk daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan naib presiden Wan Rosdy Wan Ismail, adalah cakap dengar.

Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Dis untuk mendengar rayuan tersebut.

Pada 24 Okt, Najib membuat permohonan maaf terbuka atas skandal 1MDB tetapi mengekalkan pendirian bahawa dia tidak bersalah dalam kes tersebut.

Hujah Najib, dia mendakwa ditipu oleh ahli perniagaan yang kini diburu polis, Jho Low, serta eksekutif PetroSaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS