Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan ketua pembangkang Perak Razman Zakaria semalam berhubung hantaran yang didakwa bersifat palsu dan jelik yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Haji Razman Zakaria.’
Hari ini, MCMC telah memanggil pentadbir akaun media sosial berkenaan dan menyita kelengkapan komunikasinya, satu telefon bimbit dan sekeping kad sim.
"(Hantaran FB yang disiasat itu) melibatkan beberapa isu sensitif berbaur perkauman termasuk isu kibaran bendera negara asing semasa perarakan sambutan “Malaysia Guang Ze Zun Wang Cultural Festival 2024” baru-baru ini," kata suruhanjaya itu pada satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang pembuatan dan penghantaran komen atau komunikasi yang antara lain, bersifat mengancam, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Razman juga telah memberi keterangan kepada polis semalam.
Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris memaklumkan Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan Adun Selinsing Sallehuddin Abdullah, bersama tiga lagi individu dari parti sama dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak kira-kira 10 pagi, semalam.
Mereka memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan, pada Sabtu, kata Azizi.
Sebelum ini, kontroversi tercetus susulan insiden mengibarkan bendera China semasa perayaan kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan, Perak yang menyebabkan PAS menggesa polis melakukan siasatan.
Persatuan Kebudayaan Guan Gong, yang menganjurkan festival itu, telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa individu yang mengibarkan bendera itu adalah warga China.
Penganjur juga menegaskan bahawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak turut dikibarkan pada majlis itu.
Tidak puas hati dengan majlis itu, Razman menghadiri perhimpunan di tempat yang sama pada hari berikutnya, di mana dia berucap membidas kerajaan kerana didakwa gagal mempertahankan kedaulatan negara.
Dalam masa yang sama, dia juga menyeru individu yang memiliki "mata, kulit dan darah yang sama" supaya bersatu.
“Kita mohon kepada semua yang matanya macam ni (sambil tunjuk mata), kulit dia macam ni (tunjuk kulit), darah dia macam kita semua, kita kena bersatu, inilah wadahnya yang kita bawa,” kata Razman.
Bagaimanapun, ketika wawancara bersama Malaysiakini, Adun Gunung Semanggol itu mendakwa media telah memutarbelitkan kata-katanya sedangkan dia hanya dia merujuk kepada individu yang mempunyai sifat fizikal yang serupa.