Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM siasat dakwaan kartel baja bernilai RM1.8 bilion - sumber
Diterbitkan:  Oct 29, 2024 8:14 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap dakwaan kartel yang terlibat dalam pengedaran dan pembekalan baja untuk tanaman padi, sebagai sebahagian daripada projek kerajaan bernilai RM1.8 bilion.

Dalam dua hari lalu, satu sumber mendakwa SPRM telah mengunjungi beberapa premis di sekitar Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan.

Premis tersebut termasuk ibu pejabat organisasi yang ditugaskan menghasilkan dan mengedarkan baja kepada petani padi, sebuah kementerian, serta sembilan syarikat yang terlibat dalam projek ini.

SPRM telah merampas dokumen berkaitan projek tersebut dan memanggil enam individu daripada kementerian dan organisasi tersebut untuk disoal siasat.

Menurut sumber itu, projek di bawah kementerian ini bernilai RM1.8 bilion dan berjalan selama 30 bulan dari 2021 hingga 2023.

"Hasil siasatan mendapati pertubuhan ini telah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja-baja padi daripada lima syarikat pengeluar. Dan membeli bahan-bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat.

"Siasatan SPRM akan menjurus kepada kesalahan rasuah dalam perolehan baja atau bahan mentah daripada syarikat-syarikat terpilih.

"Selain itu, siasatan juga menjurus kepada kesalahan salahguna kuasa yang mungkin berlaku di mana Ahli-ahli Lembaga Pengarah yang terlibat dalam membuat keputusan dalam pemilihan syarikat-syarikat berkepentingan,” kata sumber tersebut.

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan dan tidak menolak kemungkinan beberapa suspek akan ditahan untuk membantu siasatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16 (kesalahan menerima suapan), Seksyen 18 (kesalahan menggunakan ejen untuk memperdaya) dan Seksyen 23 (penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan) Akta SPRM 2009.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS