Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nafas nafi taja program Mat Sabu di parlimen Kota Raja

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) hari ini menafikan dakwaan telah menyumbangkan dana untuk program Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu bersama masyarakat di kawasan parlimen Kota Raja.

Pengurus Besar Nafas Muhammad Faris Arriffin mengesahkan permohonan pejabat parlimen Kota Raja kepada Nafas untuk meminta sumbangan ditolak.

"Permohonan sumbangan untuk Program Menteri (KPKM) di Parlimen Kota Raja bertarikh 3 Mei 2023 tidak diluluskan dan tidak dibayar oleh Nafas.

"Setiap permohonan dana perlu melalui SOP (prosedur operasi standard) ketat yang telah ditetapkan. Dalam kes ini, arahan saya adalah jelas: "Sila urus mengikut peraturan dan peruntukan.”

"Saya sentiasa memastikan kepatuhan SOP dalam semua urusan kewangan.

“Dalam kes ini, tiada pembayaran dibuat, membuktikan komitmen kami terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Katanya, penyaluran dana terus kepada pusat khidmat yang dahulunya berlaku, kini tidak lagi diteruskan di bawah pengurusan baru Nafas.

Terdahulu, Faris yang juga ketua pemuda Amanah Wilayah Persekutuan diminta mengulas mengenai dua dokumen tular di media sosial yang didakwa untuk permohonan sumbangan berkenaan.

Dokumen pertama merupakan surat daripada setiausaha politik menteri, Yuhaizad Abdullah kepada Faris bertarikh 3 Mei 2023.

Dalam surat itu, Yuhaizad meminta Nafas memberi sumbangan kepada program menteri Mohamad Sabu yang juga Ahli parlimen Kota Raja. Menurut surat, program menteri bersama masyarakat parlimen dijadualkan pada 6 Mei 2023.

Faris kemudian membuat arahan kepada bahagian sumber manusia Nafas dalam surat yang sama dengan membuat memo pengurus besar: "Sila urus mengikut peraturan dan peruntukan."

Dia turut menulis nota: RM20k (RM20,000) pada memo yang sama.

Sementara dokumen kedua merupakan borang permohonan bayaran Nafas bertarikh 5 Mei 2023.

Berdasarkan borang itu, bahagian korporat Nafas memohon bayaran RM20,000 untuk dibayar kepada pusat khidmat rakyat Kota Raja.

Terdapat juga nota bertulis "peruntukan tabung Mafi."

Mafi singkatan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang kini dikenali sebagai KPKM.

Malaysiakini telah melihat kedua-dua dokumen tersebut namun Nafas cuma mengesahkan ketulenan surat setiausaha politik menteri kepada pengurus besar tetapi tidak mengulas ketulenan borang permohonan bayaran.

Sementara itu, Faris berkata badan induk persatuan peladang itu memandang serius penyebaran dokumen sulit tanpa kebenaran.

"Kami memandang serius penyebaran dokumen sulit tanpa kebenaran dan akan mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi reputasi serta integriti Nafas daripada sebarang kempen fitnah yang tidak berasas.

"Kami menegaskan bahawa setiap transaksi Nafas sentiasa mematuhi SOP yang telah diluluskan oleh AJP dan diaudit bagi memastikan ketelusannya, selaras dengan Akta Pertubuhan Peladang demi menjaga kepentingan ahli-ahli peladang.

"Walaupun, kami yakin bahawa semua tindakan Nafas adalah berdasarkan piawaian peraturan, kami komited untuk memberi kerjasama penuh kepada segala semakan dalaman yang sedang dilaksanakan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS