Isu ketiadaan beras tempatan di pasaran mendapat perhatian di Dewan Rakyat hari ini apabila ahli parlimen pembangkang membangkitkan isu berkenaan.
Idris Ahmad (PN- Bagan Serai) berkata kesukaran mendapatkan beras tempatan turut berlaku di kawasan yang menghasilkan padi yang banyak di Perak.
Jelasnya, ini termasuk di daerah Kerian yang menyumbang hampir 50 hingga 60 peratus daripada keseluruhan pengeluaran padi negeri itu.
“Malangnya beras tempatan tidak ada di Bagan Serai walaupun Kerian pengeluar padi. Kami duduk dalam guni beras tetapi tiada beras tempatan.
“Tahun ini pengeluaran padi sedikit meningkat kepada tiga hingga empat tan seekar berbanding tahun sebelumnya hanya satu hingga dua tan tetapi beras tempatan tetap tiada.
“Apa masalahnya beras tempatan tidak ada tetapi beras import yang ada? Ke mana pergi beras tempatan?” soalnya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika Idris sedang berucap, Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bangun mencelah dan mendakwa "pagi kilang proses beras tempatan, petang masuk pek beras import.”
Bahkan, Rosol mendakwa bahawa beras tempatan hanya wujud pada musim Jualan Rahmah ataupun kempen pilihan raya kecil (PRK).
Idris yang bersetuju dengan pendapat Rosol secara berseloroh berkata PRK perlu diadakan setiap hari jika ingin dapatkan beras tempatan.
“Beras tempatan ini pelik dan ajaib hanya muncul ketika jualan Madani dan sewaktu PRK. Kalau boleh kita minta PRK setiap hari," katanya.