Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP kerajaan bantah pelaksanaan PLKN 3.0
Diterbitkan:  Oct 29, 2024 6:51 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

PARLIMEN l Chow Yu Hui (PH-Raub) berpendirian adalah tidak bijak bagi kerajaan membelanjakan RM50 juta untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 terutama dalam suasana ekonomi semasa kerana ia bukan keperluan mendesak untuk rakyat.

Sebaliknya, Chow yakin pelaksanaan dasar yang adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama di bawah semangat kerajaan Madani akan lebih berkesan dalam menyemai semangat patriotisme seperti yang diharapkan melalui program PLKN.

"Saya berdiri hari ini dengan pendirian yang jelas, iaitu saya membantah cadangan untuk melaksanakan semula PLKN atas beberapa sebab yang akan saya jelaskan.

"Pertama, PLKN memerlukan peruntukan sangat besar. Dalam keadaan ekonomi sekarang, negara kita masih berhadapan dengan masalah kewangan.

"Tidakkah dana yang diperuntukkan untuk PLKN lebih baik dialihkan kepada sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi rakyat?" katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Sambil menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula langkah itu, katanya, perlu ada kajian mendalam mengenai keberkesanan PLKN berikutan kerajaan pernah menghentikannya.

"Jika tujuannya untuk melahirkan belia yang lebih berdisiplin dan patriotik, mengapa kita tidak fokus kepada program lebih holistik, yang melibatkan komuniti, pendidikan formal dan bukan formal?

"Saya tahu, walaupun ada beberapa kajian yang dilakukan, adakah belanja besar yang dikeluarkan untuk program ini sepadan dengan impak positif yang dicapai?

"Ini menimbulkan kebimbangan sama ada PLKN benar-benar memberikan nilai tambah kepada belia atau sekadar menjadi program rutin tanpa perubahan yang signifikan," katanya.

Ahli Parlimen itu menambah, kerajaan telah membelanjakan RM8.4 bilion sejak program itu dimulakan pada 2004 sehingga ia dibatalkan pada 2018 tetapi keberkesanannya masih diragui.

Katanya, walaupun sasaran utama PLKN 3.0 adalah pelajar yang baru menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun tidak mengecualikan pelajar serta graduan universiti.

"Apa yang ingin saya nyatakan ialah golongan belia di bawah umur 35 tahun ini kebanyakannya masih berada dalam fasa pengajian, malah ada yang sudah menamatkan pengajian di universiti dan bekerja di alam pekerjaan, bahkan ada yang sudah berkeluarga.

"Jika sebahagian daripada golongan ini menyertai PLKN, walaupun hanya untuk tempoh dua bulan, ia mungkin memberi kesan besar kepada kehidupan mereka.

"Ketiadaan pendapatan selama dua bulan bermakna tiada gaji untuk tempoh tersebut, sedangkan ramai antara mereka perlu menanggung kos kehidupan seperti bayaran pinjaman rumah, kereta dan perbelanjaan untuk anak-anak.

"Bagi sesetengah penuntut pula, mereka mungkin memilih untuk bekerja sambilan pada cuti semester untuk menampung kos pengajian.

"Jika masa mereka dihabiskan untuk menyertai PLKN, bagaimana mereka akan menampung perbelanjaan hidup dan yuran pengajian?" soalnya.

Justeru, Chow mencadangkan agar kerajaan agar menilai semula keperluan menghidupkan PLKN tetapi sebaliknya menumpukan kepada inisiatif lebih berkesan dan berimpak tinggi kepada belia dan rakyat.

“Saya percaya kita semua mahukan yang terbaik untuk generasi akan datang, tetapi ini mesti dilakukan dengan kebijaksanaan dan berdasarkan penyelidikan dan keperluan sebenar masyarakat,” tambahnya.

Sabtu lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata program khidmat negara akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Januari depan.

Dia berkata, sebagai permulaan, program itu akan diadakan di dua kem tentera di Kuala Lumpur dan Pahang sebelum diperluaskan ke 13 kem lain di seluruh negara sebaik dilaksanakan sepenuhnya pada 2026.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS