Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesta Guan Gong di Johor pula disiasat polis
Diterbitkan:  Oct 29, 2024 5:46 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Selepas penyiasatan ke atas perarakan Festival Budaya Guan Gong di Teluk Intan, Perak, kini perarakan serupa di Johor Bahru turut menghadapi siasatan polis.

Penganjur acara menyuarakan kebimbangan jika isu ini berlarutan, ia mungkin menjejaskan imej Malaysia dan menakutkan pelabur asing.

Menurut Oriental Daily News, Presiden Persatuan Budaya Guan Gong Soon Boon Hua memberitahu media di Kedah bahawa “individu tertentu” perlu berhenti mengeksploitasi isu ini.

Katanya tindakan membangkitkan isu ini terus-menerus boleh mempengaruhi pandangan negara-negara lain terhadap Malaysia, termasuk dalam kalangan usahawan dari China.

Soon berkata sejak 6 Jun, pihaknya telah menganjurkan festival ini bagi mempromosikan pelancongan budaya Malaysia.

Jelasnya acara tersebut menarik 500 wakil dari 12 negara atau wilayah, memperlihatkan daya tarikan Malaysia serta membantu mempromosikan pelancongan budaya.

Kata Soon jika pihak-pihak tertentu terus mengundang kontroversi, ia mungkin menghalang penyertaan masa hadapan dan menakutkan pelaburan asing.

PAS sasar pemimpin DAP

Pasukan Festival Budaya Guan Gong tiba di Kedah semalam dan mengadakan upacara ritual tradisional di sebuah kuil di Jitra hari ini. Destinasi seterusnya termasuk Pulau Pinang, diikuti Thailand.

Sebelum ini, pemimpin PAS dan PN mempersoalkan kehadiran bendera negara China semasa perarakan Festival Guan Gong di Teluk Intan dan Johor Bahru. PAS menggunakan isu ini untuk mengkritik pemimpin DAP, termasuk Nga Kor Ming, Woo Kah Leong dan Kerk Chee Yee.

Namun, penganjur dan peserta menjelaskan perarakan itu melibatkan wakil-wakil dari pelbagai negara, masing-masing mengibarkan bendera negara mereka sendiri, dengan bendera Malaysia turut hadir.

Perarakan di Teluk Intan dan Johor Bahru diadakan pada 24 Oktober dan 20 Oktober, masing-masing.

Polis panggil penganjur

Sebelum ini, polis melancarkan siasatan terhadap perarakan di Teluk Intan. Dengan kontroversi kini turut melibatkan perarakan di Johor Bahru, polis akan melanjutkan penyiasatan mereka ke atas acara ini juga.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat polis menerima laporan semalam yang mendakwa bendera asing dikibarkan semasa perarakan keagamaan di Johor Bahru.

Berikutan laporan tersebut, polis memulakan siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Pengawalan Paparan) 1949, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Raub menyebut polis akan memanggil penganjur dan saksi untuk disoal siasat.

Ketika dihubungi, Kerk (gambar atas) berkata dia akan bekerjasama dan membantu siasatan sekiranya dipanggil polis.

Namun, dia menegaskan perarakan tersebut tidak melanggar sebarang undang-undang.

Sebaliknya, kata Kerk perarakan itu acara budaya antarabangsa yang menarik ratusan peserta asing.

“Pada acara di Johor Bahru yang dihadiri saya, wakil asing yang mengibarkan bendera kebangsaan mereka termasuk dari China, Thailand, Vietnam dan mungkin negara lain.

“Di media sosial saya, anda boleh lihat bendera Malaysia turut hadir dalam acara itu,” kata Kerk kepada Malaysiakini.

Dia turut berkata beberapa ahli politik ekstrem cuba meraih keuntungan politik dengan membangkitkan isu ini dan mengabaikan kebenaran.

“Saya sangat kecewa satu acara yang dapat meningkatkan pelancongan budaya di Malaysia menjadi sasaran mudah untuk serangan murahan oleh ahli politik ekstrem,” katanya.

Festival Guan Gong diadakan untuk meraikan pahlawan purba China Guan Gong atau Guan Yu.

Watak itu begitu popular dalam budaya pop sehingga diadaptasi dalam pelbagai bidang, antaranya fiksyen sejarah, filem dan permainan video.

Pelakon Hong Kong Donnie Yen juga pernah membawa watak Guan Yu di dalam filem The Lost Bladesman pada 2011.

Patung Guan Yu juga diletakkan di banyak kuil Taoist dan menjadi simbol spiritual masyarakat Cina yang dihormati dalam kepercayaan Buddha dan Konfusianisme.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS