Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga pelajar mati akibat renjatan elektrik mahu perbicaraan penuh saman

Keluarga S Vinosiny memohon perbicaraan penuh terhadap saman kecuaian mereka berhubung kematian mendiang akibat terkena renjatan elektrik di bilik asramanya di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Peguam keluarga itu, M Manoharan, berkata mereka tidak berminat dengan pengantaraan yang dicadangkan mahkamah antara mereka dan UUM yang ditetapkan pada 23 Mac tahun depan.

"Saya dapat arahan keluarga mahukan perbicaraan penuh mahkamah supaya keadilan tercapai," kata peguam itu.

Semalam, dilaporkan bukan sahaja tarikh pengantaraan malah Mahkamah Tinggi Alor Setar menetapkan tiga hari mulai 10 Nov tahun depan untuk perbicaraan penuh tindakan sivil itu.

Pada Mei 2022, dilaporkan bahawa Vinosiny, yang mendaftar di UUM di Sintok, Kedah, disyaki meninggal dunia akibat renjatan elektrik di bilik asramanya.

Pemuda berusia 20 tahun itu, yang berada di semester empat dalam pengajian perakaunan dan sistem maklumat, telah kembali ke kampus seminggu sebelum tragedi itu.

Tahun lepas, Mahkamah Koroner Alor Setar memutuskan pelajar itu mati akibat terkena renjatan elektrik.

Pada Februari tahun ini, bapa mendiang, R Sivakumar, memfailkan tindakan sivil terhadap UUM atas dakwaan kecuaian, menuntut ganti rugi RM3.05 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS