PARLIMEN l Seorang ahli parlimen kerajaan hari ini mempersoalkan sikap membungkam kepimpinan PAS berhubung kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh pesuruhjaya parti itu di Perak Razman Zakaria.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkata setakat ini hanya Razman yang menjawab kritikan terhadapnya manakala pemimpin PAS yang lain masih belum mengeluarkan kenyataan.
“Kita dengar penjelasan ketua PAS tersebut di media. Tapi kita tak dengar daripada pemimpin PAS lain.
“Apakah pendirian mereka berkenaan kenyatan-kenyataan yang dibuat pemimpin PAS Perak ini? Bukankah ini satu perkara serius yang boleh untuk memecahbelahkan rakyat?
“Ini semua perkara serius. Adakah PAS akan buat satu kenyataan atau pengumuman untuk?” soal wakil rakyat DAP itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Semasa perhimpunan di Menara Condong Teluk Intan, Perak pada Sabtu lalu, Razman mendesak supaya semua yang mata, kulit macam kita mesti bersatu.
Ia selepas sekumpulan warga China mengibarkan bendera republik itu pada perayaan Guan Gong di Teluk Intan, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Razman sejak itu menafikan bahawa dia berniat untuk menghina mana-mana kaum dengan kenyataan itu, dan mendakwa bahawa media telah menyalah tafsir kata-katanya.
Susulan kejadian itu, polis melancarkan siasatan terhadap perhimpunan itu. Polis sebelum ini berkata mereka turut menyiasat pengibaran bendera China pada festival kebudayaan Guan Gong, dan mendapati penganjur bersalah.
Susulan kejadian itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu berdiri teguh dengan Razman dan lain-lain yang mengecam insiden tersebut tetapi tidak menyentuh kenyataan berbaur perkauman yang dibuat.
Awal tahun ini, biro perpaduan PAS mendedahkan hasratnya untuk menjadikan parti Islam itu sebagai pilihan nombor satu masyarakat bukan Islam di negara ini.
Pengerusinya Dr Halimah Ali dilaporkan berkata bahawa biro itu akan menganjurkan pemukiman selama dua hari untuk memikirkan strategi dan rancangan bagaimana untuk memenangi hati dan fikiran mereka, termasuk menjadi lebih akrab dengan isu mereka.
Halimah kemudian berkata bahawa undi bukan Islam adalah penting untuk PAS merealisasikan cita-citanya untuk mentadbir negara dan Selangor, yang berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sejak pilihan raya umum 2008.