Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan kaji naikkan ambang T15 kepada RM15,000 ke RM20,000 
Diterbitkan:  Oct 29, 2024 12:01 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Kerajaan mempertimbang menaikkan ambaang bagi kumpulan 15 peratus berpendapatan paling tinggi (T15) kepada mereka yang bergaji sekurang-kurangnya RM15,000 ke RM20,000 sebulan.

Setakat ini, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, kumpulan T15 tergolong kepada kumpulan bergaji sekurang-kurangnya RM13,000 sebulan.

“Itu sedang dibincangkan,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Semalam media melaporkan, Kementerian Ekonomi memperincikan kumpulan T15 bulan ini dengan kerjasama Kementerian Kewangan, sebelum dibentangkan kepada kabinet untuk kelulusan.

Menterinya Rafizi Ramli berkata perincian itu diperlukan bagi memberi garis lebih tepat kepada kumpulan T15, yang akan dinilai berdasarkan lokaliti, bukan lagi bersifat nasional seperti dasar terdahulu.

Ia juga akan mengambil kira pendapatan bersih dan pendapatan boleh belanja kerana takrifan pukal boleh menyebabkan ketidakadilan, kata Rafizi.

“Anda tahu yang (berpendapatan) RM15,000 di Kuala Lumpur, (itu) di kawasan yang mahal, tapi RM15,000, katakanlah di Gua Musang, memang kayalah,” katanya.

‘RM13,000 agak rendah untuk jadi T15’

Dalam sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, Anwar justeru menafikan wujud percanggahan tafsiran terhadap pengelasan itu.

Katanya, angka RM13,000 sebulan agak rendah untuk dikategorikan sebagai T15.

"Tidak ada percanggahan sama sekali.

“Rujuk kepada mesyuarat jemaah menteri  kenapa kita tetapkan T15 dan akan diangkatkan jumlah pendapatan (kepada angka lebih tinggi)," katanya.

Anwar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh).

Zawawi ketika mencelah berkata wujud kecelaruan dalam definisi kumpulan T15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS