Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 1,000 kanak-kanak dihantar pulang dari Jan hingga Sept

PARLIMEN l Jabatan Imigresen telah menghantar pulang seramai 1,178 kanak-kanak dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata daripada jumlah itu 681 adalah kanak-kanak lelaki dan 497 kanak-kanak perempuan.

“Bagi tempoh 1 Januari 2024 sehingga 30 September 2024, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah merekodkan pemindahan pulang tahanan di semua depot imigresen seluruh negara," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Saifuddin menjawab pertanyaan yang dikemukakan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang ingin mengetahui bilangan pengusiran yang dilakukan antara 1 Januari 2024 hingga 14 Oktober 2024, mengikut pecahan umur, jantina, kewarganegaraan dan status UNHCR.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak tahun lalu memperkenalkan 'Baitul Mahabah', sebuah fasiliti bagi menempatkan kanak-kanak warga asing berusia bawah 10 tahun yang sebelum ini ditahan bersama ibu, bapa atau penjaga mereka di pusat-pusat tahanan imigresen sebelum dihantar pulang.

Inisiatif Baitul Mahabbah adalah sesuai dengan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Kanak-Kanak 2021 ataupun di bawah Kanun Keseksaan dan selaras Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Jabatan Imigresen juga turut menghantar pulang tahanan lain yang terdiri daripada 24,542 orang lelaki dan 8,087 orang wanita.

“Warganegara Indonesia merupakan tahanan paling ramai iaitu seramai 14,583 orang (43.1 peratus),” katanya.

Mengenai bilangan pengusiran yang dilakukan mengikut pecahan umur, jantina, kewarganegaraan dan status UNHCR pula, Saifuddin berkata Malaysia bukanlah satu pihak kepada Konvensyen PBB 1951 yang berkaitan dengan Status Pelarian dan Protokol 1967.

Justeru, pemindahan pulang tahanan di depot imigresen dilaksanakan berdasarkan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen.

“Tahanan yang mempunyai kad UNHCR yang sah akan dirujuk terlebih dahulu kepada pihak UNHCR bagi tujuan pengesahan dan seterusnya dibebaskan kepada pihak UNHCR.

“Pengesahan daripada pihak UNHCR dibuat sebagai langkah memastikan penghantaran pulang tahanan tidak melanggar prinsip non-refoulment,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS