Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesilapan pandu arah, kapal usang punca KD Pendekar karam
Diterbitkan:  Oct 29, 2024 10:15 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengenal pasti kesilapan pandu arah dan usia kapal menjadi faktor utama yang membawa kepada karamnya KD Pendekar pada Ogos lalu.

Dalam kenyataan malam tadi, TLDM menyatakan kapal serang pantas kelas Handalan itu sedang melakukan rondaan pada 25 Ogos dan menghampiri pantai untuk pemeriksaan teknikal.

Ketika itulah, menurut TLDM, kapal KD Pendekar tersebut mengalami gegaran yang kuat sebelum diikuti kebanjiran yang besar.

"Semua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV Ashley tanpa sebarang kecederaan," kata TLDM.

Kenyataan sama menyebut lembaga penyiasat mendapati beberapa faktor yang menyumbang kepada insiden malang berkenaan.

"Pertama, kesilapan pandu arah (navigational error).

"Berdasarkan rekod laluan KD Pendekar tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai (Stork Reef)," katanya.

Faktor kedua, menurut TLDM, keusangan kapal yang melebihi dasar kasting iaitu berusia 45 tahun dan keadaan itu menjejaskan struktur kapal sehingga menyukarkan kemasukan air dikawal.

"Ia mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen-kompartmen lain," katanya.

Dasar kasting merujuk kepada prosedur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai jangka hayat peralatannya termasuk langkah-langkah untuk menggantikan aset yang usang.

Menurut laporan Jabatan Audit Negara tahun ini, kapal TLDM - bergantung kepada sesebuah kapal - mempunyai jangka hayat ekonomi 24 hingga 30 tahun, tetapi 26 daripada 49 aset pasukan itu sudah melebihi had sehingga 25 tahun.

Selain itu, beberapa kapal didapati masih digunakan pada kekerapan operasi yang tinggi (lebih daripada 60 hari di laut setiap tahun) walaupun ia melangkaui jangka hayatnya.

Antara lain ia disebabkan oleh kelewatan ATM menerima kapal gantian.

Sementara itu mengenai kematian seorang anggota TLDM semasa operasi salvage (menyelamat) KD Pendekar pada 28 Ogos, pasuan penyiasat mendapati semua prosedur yang sepatutnya dipatuhi.

"Siasatan mengesahkan bahawa punca kematian penyelam, Arman San Hermansa, adalah akibat lemas," kata TLDM.

Semasa kerja-kerja tersebut dijalankan, katanya, keadaan di kawasan tersebut mengalami arus yang tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat iaitu kira-kira 1 kaki saja.

Keadaan itu, kata TLDM, meletakkan seseorang penyelam berada pada situasi yang berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar.

"Apabila tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan yang dilakukan oleh penyelam malang tersebut tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas

"Menurut siasatan TLDM, kematian Arman disebabkan lemas selepas terjerat dengan kapal karam itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS