Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Anwar 'pemimpin yang baik' terima permohonan maaf Najib
Diterbitkan:  Oct 28, 2024 11:43 PM
Dikemaskini: 3:43 PM

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai seorang “pemimpin yang baik” apabila menerima permohonan maaf bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

"Seorang pemimpin baik harus menerima permohonan maaf daripada sesiapa sahaja dan Umno berpendirian seperti kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung (Asyraf Wajdi Dusuki).

"Kita merasakan Najib 'was misslead by somebody and by group of people' (diperdaya oleh seseorang atau sekumpulan orang) dan perkara ini harus diambil keprihatinan.

"Kita jangan terus berprasangka, lemparkan pelbagai tafsiran terhadap perkara ini. Kita tahu kenyataan berkenaan dikeluarkan selepas keterangan saksi di mahkamah dan hanya disedari Najib selepas saksi memberi keterangan," kata Ahmad Zahid dipetik Berita harian.

Presiden Umno itu dilaporkan bercakap kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia Madani di Putrajaya hari ini.

Najib mengeluarkan permohonan maaf pada Khamis minggu lalu berhubung skandal 1MDB yang berlaku ketika pentadbirannya tetapi tetap menegaskan dirinya tidak bersalah.

Sebaliknya Najib mendakwa dia telah ditipu dan tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan dari segi undang-undang.

Anwar pada 25 Okt lalu berkata dia menerima baik permohonan maaf dibuat bekas ahli parlimen Pekan itu.

"Terima baik, terima baik," katanya ringkas selepas solat Jumaat di Putrajaya.

Bagaimanapun, Setiausaha politik menteri kewangan, Kamil Munim berkata, tidak timbul isu perdana menteri itu memaafkan Najib atau sebaliknya, kerana apa yang disebut oleh perdana menteri ialah dia "menerima baik" permohonan maaf yang dibuat.

Ini selepas beberapa pihak termasuk bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengatakan Anwar tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Bagaimanapun Anwar hari ini menyelar pihak yang mempersoalkan kewajaran dirinya menerima permohonan maaf daripada Najib.

"Ada mek mek dua tiga orang ini umpamanya, bila saya sebut berhubung kes baru-baru ini apabila Datuk Seri Najib buat kenyataan meminta maaf atas apa yang berlaku dalam 1MDB dan sebagainya.... dia marah, ...bebal tak tentu arah, terus nak marah.

"Orang minta maaf pada kita, takkan hendak kata aku tak terima... ini apa perangai, manusia apa ini? Saya perdana menteri, saya 'bapa' pada negara.... (bila) orang cakap macam itu (mohon maaf) saya nak buat apa?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS