Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM dicabar nyatakan secara terbuka akan lawan usaha bebaskan Najib
Diterbitkan:  Oct 28, 2024 9:14 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Peguam Latheefa Koya mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyatakan secara terbuka yang dia akan menentang sebarang usaha untuk mendapatkan pembebasan awal untuk Najib Razak.

Latheefa membuat cabaran itu selepas Anwar mengecam pihak yang mengkritiknya kerana menerima permohonan maaf Najib atas skandal 1MDB.

"Adakah PM bersedia untuk menyatakan secara terbuka yang kerajaan akan menentang, melalui semua jalan perundangan yang ada, pembebasan awal Najib dari Penjara Kajang, dengan mengambil kira bahawa kes 1MDB adalah kecurian dana awam paling teruk sejak Merdeka?" soal Latheefa yang juga bekas ahli PKR di X hari ini.

Kenyataan itu selepas Anwar menjelaskan tindakannya menerima permohonan maaf Najib adalah untuk menunjukkan kepimpinan yang baik, khususnya dalam situasi terdapat pihak lain mengemukakan permohonan secara baik.

"Ada mek mek dua tiga orang ini umpamanya, bila saya sebut berhubung kes baru-baru ini apabila Datuk Seri Najib buat kenyataan meminta maaf atas apa yang berlaku dalam 1MDB dan sebagainya.... dia marah, ...bebal tak tentu arah, terus nak marah.

"Orang minta maaf pada kita, takkan hendak kata aku tak terima... ini apa perangai, manusia apa ini? 

“Saya perdana menteri, saya 'bapa' pada negara.... (bila) orang cakap macam itu (mohon maaf) saya nak buat apa? Saya kata kita terima baiklah,” katanya yang dipetik Berita Harian Online hari ini.

Kebimbangan yang wajar

Latheefa turut menegur Anwar kerana menggelar dirinya “bapa negara”, menyifatkannya sebagai konsep feudal yang tidak terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan semangat reformasi.

“Kedua, ada sebab yang wajar mengapa media sosial dan internet meledak dengan kemarahan apabila Anwar menerima permohonan maaf Najib,” kata bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu lagi.

Latheefa juga membangkitkan rekod kerajaan berhubung pengurangan hukuman Najib dan juga keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah.

“Anwar mesti menangani kebimbangan ini, bukannya melabel mereka yang bertanya sebagai ‘bebal’ dan sebagainya.” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS