Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu OKU: Tak ada pun ahli politik tampil bantu, tanya khabar

Pada masa lalu, ahli politik PH sering dilihat sebagai pembela golongan tertindas yang memperjuangkan keadilan tanpa kenal penat lelah dan tidak mengira masa siang atau malam.

Namun, lain pula halnya dalam kes pemandu e-hailing OKU Ong Ing Keong yang dipukul anggota polis pengiring di luar hotel St Regis, Kuala Lumpur.

Suara-suara lantang ahli politik ini seakan membisu seribu bahasa manakala pemandu pekak itu masih memasang harapan agar penyerangnya dihadapkan ke mahkamah.

Ketika ditanya jika dia berasa kecewa dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya, Ong menjawab: "Ya."

“Tiada seorang pun ahli politik yang memanggil saya untuk berbincang, menelefon atau melawat saya. Tak ada.

"Tiada yang menawarkan bantuan. Bahkan, tiada satu mesej pun sebagai sokongan. Tidak ada apa-apa,” katanya kepada Malaysiakini melalui seorang jurubahasa isyarat.

Ong turut kesal dengan kenyataan Anwar ketika ditanya mengenai serangannya, apabila Anwar menyebut beberapa kes memang memerlukan masa yang panjang.

"Ini semua sekadar cakap. Kes ini jelas. Bukti (rakaman dashcam serangan) telah diberikan kepada pihak berkuasa. Semua bukti telah ditunjukkan. Tetapi tiada hasil," katanya.

Apabila ditanya jika dia mempunyai pesanan untuk Anwar, memandangkan perdana menteri juga pernah menjadi mangsa ketidakadilan dan serangan, Ong berkata: “Sama ada saya pekak atau tidak, kita sama-sama rakyat Malaysia.”

"Saya minta bantuan perdana menteri untuk selesaikan kes ini kerana sudah lima bulan...

"Harapan saya adalah agar perdana menteri melakukan sesuatu mengenainya," katanya.

Ong, 48, diserang ketika berada di dalam keretanya sementara menunggu penumpang di luar hotel tersebut ketika Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut berada di tempat kejadian.

Penyerangnya sebahagian anggota polis pengiring TMJ dan Tunku Ismail sendiri telah bertitah supaya siasatan terperinci dijalankan serta keadilan ditegakkan.

Kejadian tersebut telah dirakam melalui kamera dashcam dan diserahkan kepada pihak polis dan Pejabat Perdana Menteri.

Polis menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara sebanyak dua kali, pada 5 Jun dan 27 Julai namun masih tiada sebarang perkembangan sejak itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS