Pertikaman lidah berlaku semasa pendengaran kes saman 1MDB bernilai AS$248 juta terhadap anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak di mahkamah sivil.
Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili anak tiri Najib, Riza Abdul Aziz berselisih pendapat dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo mengenai sama ada Loo berada di bawah program perlindungan saksi atau tidak.
Shafee sedang menyoal balas jika Loo ada membuat perjanjian dengan 1MDB untuk memberi keterangan terhadap Riza dalam saman ini sebagai pertukaran supaya 1MDB menarik balik saman terhadapnya.
Namun, Loo menegaskan dia tidak dapat menjawab soalan tersebut kerana undang-undang menghalangnya daripada berbuat demikian.
Shafee: Kamu menjadi saksi yang dilindungi?
Loo: Tidak sesuai untuk memberi komen.
Shafee: Saya bukan bertanya perkara sulit. Saya hanya bertanya kerana kamu hadir secara terbuka di mahkamah ini tanpa perlindungan di belakang skrin dengan hanya suara kamu saja yang didengar. Adakah kamu di bawah program perlindungan saksi?
Loo: Saya tidak boleh menjawab soalan itu kerana undang-undang tidak membenarkan saya menjawab.
Shafee: Saya menganggap jawapan anda tidak tepat dan anda berlindung di sebalik program perlindungan ini.
Loo, 51, kembali ke Malaysia tahun lalu untuk membantu pihak berkuasa menyiasat skandal 1MDB setelah berada di luar negara selama beberapa tahun sejak skandal itu terbongkar.
Dalam prosiding hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Loo berkata dia secara sukarela tampil untuk memberi keterangan bagi pihak 1MDB terhadap Riza bagi membantu dan menjimatkan masa mahkamah.
Saman sivil oleh 1MDB mendakwa wang sebanyak AS$248 juta telah diselewengkan bagi membiayai produksi filem oleh Riza dan dua defendan lain serta untuk aktiviti perjudian dan pembelian hartanah.
Dua defendan lain melibatkan syarikat Riza, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited, yang berpangkalan di California.
Red Granite Pictures menghasilkan filem terkenal 2013, The Wolf of Wall Street, yang berkisarkan kisah sebenar Jordan Belfort, seorang broker saham di New York yang terlibat dalam rasuah dan penipuan.
Melalui saman sivil yang difailkan pada 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya mendakwa wang mereka telah diselewengkan melalui pelbagai helah dan penipuan yang memperdayakan pihak ketiga yang tidak bersalah.
1MDB dan anak syarikatnya mencari, antara lain pengisytiharan bahawa Riza bertanggungjawab atas dana yang diselewengkan dan perlu membayar kembali wang tersebut kepada mereka.
Melalui pernyataan pembelaannya, Riza mendakwa dana tersebut pinjaman dari keluarga diraja Saudi atau dari International Petroleum Investment Company (IPIC) dan bukan dana 1MDB.
Pada Mei 2020, mahkamah jenayah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Riza atas pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan AS$248 juta berkaitan dana 1MDB.
Perintah DNAA ini hanya untuk kes jenayah dan berasingan daripada tindakan saman sivil yang sedang berlangsung.
Bapa tiri Riza, Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes rasuah RM42 juta melibatkan SRC International, yang sebelum ini anak syarikat 1MDB.
[Baca berita asal]