PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul hari ini menegur tindakan ahli Parlimen yang memanggil kuorum ketika waktu solat Maghrib yang berlaku semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, baru-baru ini.
Johari meminta supaya ahli Parlimen tidak berbuat demikian kerana ia boleh menganggu wakil rakyat yang sedang solat, apatah lagi waktu Maghrib ketika ini amat singkat dan dikhuatiri ahli Parlimen meninggalkan solat jika tindakan memanggil korum berlaku.
Johari membangkitkan perkara itu susulan tindakan Ahmad Marzuk Shaary (PN- Pengakalan Chepa) yang bertindak memanggil korum pada sesi Parlimen Isnin lalu.
“Saya difahamkan pada 21 Oktober lalu, jam 7.30 malam, Pengkalan Chepa memohon untuk panggil korum.
“Saya tahu ini ialah hak ahli Yang Berhormat untuk memanggil korum, tapi, saya mohonlah oleh kerana waktu tu Maghrib, waktu Maghrib sangat sempit, kalau boleh, saya tidak kata tak boleh, kalau boleh jangan panggil korum waktu Maghrib.
“Sebab kawan-kawan tengah sembahyang sana, bila bunyi loceng, dia rasa terganggu, sama ada dia tinggalkan sembahyang atau masuk (dewan)," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Teguran Speaker mencetuskan sedikit kekecohan apabila ahli Parlimen Pengkalan Chepa bangun mempertahankan tindakannya itu yang mengundang reaksi ahli Dewan Rakyat yang lain.
Ahmad Marzuk yang bangkit menjelaskan perkara itu memaklumkan bahawa hanya seorang sahaja ahli Parlimen sedang berada di surau ketika dia meminta memanggil korum.
“Saya menghormati nasihat daripada Tan Sri dan saya pun bersama dengan naratif itu, tapi apa yang berlaku pada hari tersebut di surau itu hanya ada seorang ahli Parlimen," katanya.
Menjawab penjelasan Ahmad Marzuk, Johari meminta supaya tindakan memanggil korum pada waktu Maghrib sebaiknya tidak dilakukan.
“Saya tak perlukan apa-apa jawapan, saya cuma minta jangan call korum waktu Maghrib sebab sembahyang tak semestinya berlaku di surau, ada sembahyang di bilik dan surau kita banyak," katanya lagi.
Pada Isnin lalu, loceng Dewan Rakyat dibunyikan selama dua minit pada pukul 7.30 malam susulan bilangan ahli Parlimen di dalam Dewan didapati tidak cukup kuorum ketika perbahasan RUU Perbekalan 2025.
Mesyuarat kemudian ditangguhkan selepas didapati hanya 19 ahli Parlimen berada di dalam Dewan dan berbaki seorang pembahas iaitu Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor).
Mengikut Peraturan Mesyuarat 13(1), cukup kuorum bagi majlis mesyuarat dan jawatankuasa perlu mempunyai 26 orang ahli, tidak termasuk pengerusi.