Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Genap 5 bulan dipukul, pemandu OKU kecewa masih tiada keadilan

Hari ini genap lima bulan sejak pemandu Grab Ong Ing Keong dipukul. Sehingga hari ini orang kurang upaya (OKU) itu masih menunggu keadilan. 

Dia kecewa, tetapi tidak berputus asa.

"Saya akan meneruskan perjuangan ini," tegas orang pekak itu kepada Malaysiakini, melalui bahasa isyarat.

Jawapannya itu diterjemah melalui jurubahasa isyarat.

"Saya akan tunggu sehingga saya mendapat jawapan atau sehingga orang yang memukul saya ditahan. 

“Saya sanggup menunggu selama mana yang diperlukan," katanya dalam wawancara eksklusif pagi ini.

Ong dedah rakaman kamera kereta

Menjawab soalan, Ong, 48, percaya bahawa pihak berkuasa mungkin mengheret lama kes ini kerana terdapat "VVIP" terlibat dan penyerangnya adalah pegawai polis.

"Saya mengesyaki mungkin ada cubaan cover up (cubaan sembunyi kes), tetapi saya tidak berputus asa," katanya.

Ong dipukul di bahagian muka ketika menunggu penumpang di perkarangan sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 28 Mei lalu.

Individu yang didakwa menyerangnya adalah polis pengiring kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang lebih dikenali sebagai TMJ.

Tunku Ismail menggesa pihak berkuasa membuat siasatan secara menyeluruh dan berharap keadilan diberikan kepada mangsa.

Pada 31 Mei lalu, Tunku Ismail yang dimaklumkan mengenai kejadian itu sehari selepas itu berkata, baginda segera menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh.

Ong, yang kehilangan anak tunggalnya sebulan sebelum kejadian, berkongsi bahawa isterinya, yang juga pekak, memberitahunya supaya tidak berputus asa.

"Dia bersetuju dengan saya dan memberitahu saya bahawa kita perlu bersabar (untuk keadilan)," katanya.

Apabila ditegaskan bahawa tiada pertuduhan dikemukakan terhadap penyerang walaupun Tunku Ismail sendiri meminta keadilan ditegakkan, Ong berkata dia turut kecewa dengan perkara ini.

"Saya ingin merayu kepada Yang Teramat Mulia sekali lagi untuk keadilan," katanya.

Pelbagai pihak, termasuk bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim dan bekas timbalan menteri undang-undang Mohamed Hanipa Maidin, menegaskan bahawa kes itu "jelas" dan tiada sebab suspek tidak dihadapkan ke mahkamah.

Kelewatan itu membawa kepada spekulasi terdapat gangguan, sekali gus mendorong kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI).

Sementara itu, Ong juga berterima kasih kepada orang ramai kerana menandatangani petisyen atas talian yang menuntut keadilan untuknya dan perlindungan untuk komuniti pekak.

"Saya bersyukur. Ini adalah alternatif untuk saya mendapatkan keadilan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS