Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir: Lepas Gaza, Lubnan, negara mana pula sasaran Israel?
Diterbitkan:  Oct 28, 2024 2:23 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan jika selepas ini Israel akan menceroboh pula negara lain yang menerima rakyat Palestin?

Katanya, dunia tidak mampu menghalang rejim Israel kerana terlalu takut kepada Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.

Malah secara sinis, Mahathir berkata, sebarang tindakan ke atas kroni AS itu, hanya mengundang Perang Dunia Ketiga.

"Israel sudah menceroboh Lubnan. Apa pula selepas Lubnan? Hamas dan Hezbollah masih wujud. Mereka mungkin berpindah ke tempat lain.

"Untuk menghapuskan dua kumpulan Palestin ini, Israel perlu menjejak mereka. Adakah selepas ini Israel akan menceroboh pula negara lain yang menerima rakyat Palestin?" soalnya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mahahtir berkata, berbekalkan senjata daripada AS dan Eropah, Israel akan terus melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Menurutnya, Israel tidak akan menghentikan serangan mereka, sebaliknya menikmati tindakan tersebut.

"Bersedia untuk 'disembelih' oleh Amerika dan Israel. Kehilangan beberapa juta orang Arab Islam, bukan kerugian besar. Teruskan memujuk Israel untuk gencatan senjata.

"Mereka tidak akan berhenti, mereka seronok dengan apa yang mereka buat," katanya.

Tentera Israel dilaporkan terus melancarkan serangan besar-besraan ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera.

Setakat ini, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan hampir 43,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 100,000 yang lain cedera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS