Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) komited melaksanakan usaha penyusunan semula korporat dan pemulihan perniagaan.
Pengurus Besar Nafas Muhammad Faris Arriffin (gambar judul) memberitahu Malaysiakini pihaknya sedar mengenai beberapa aspek yang perlu ditambah baik.
"Dalam mana-mana organisasi, terdapat keputusan-keputusan lalu yang mungkin memberi kesan kepada prestasi semasa.
"Tetapi, fokus kami sekarang adalah untuk melaksanakan pembaharuan yang boleh memperkukuhkan tadbir urus tadbir urus korporat dan memastikan Nafas lebih mampan dalam jangka masa panjang selari dengan reformasi tatakelola yang dihasratkan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)," katanya.
Terdahulu, Faris diminta mengulas kenyataan seorang Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas yang menggambarkan badan induk persatuan peladang itu gagal dalam segala bidang.
Baca: ‘Rugi, rugi, rugi’ - AJP Nafas luah apa terbuku di hati
Salah seorang daripada 16 AJP Nafas, Mohamad Zamir Ghazali pada tulisan panjangnya tampil meluahkan rasa tidak puas hati.
"Berniaga ayam rugi. Ternak ayam rugi. Jual jentera rugi. Bina kolej sendiri rugi. Buat pemasaran produk asas tani rugi.
"Sewakan bangunan rugi. Lekat hutang sana-sini,” katanya yang juga bekas calon PH (Amanah) di Batu Burok, Terengganu pada satu kenyataan.
Zamir (gambar atas) berkata “nyawa” Nafas hanya bergantung kepada kilang baja padi.
"Itu pun sebab dilindungi. Kalau bersaing terbuka, alamat tersembam di pintu syurgawi," sindirnya.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan dakwaan penggantungan Faris yang juga ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, Nafas menafikan dakwaan penggantungan itu dan menegaskan kenyataan rasmi hanya dikeluarkan melalui bahagian komunikasi korporatnya.
Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Peladang pula berkata penggantungan pengurus besar tidak boleh dikuat kuasa sehingga keputusan muktamad dikeluarkan oleh pendaftar.
Bahagian Komunikasi Korporat Nafas telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu dan Faris pula mengeluarkan surat tuntutan guaman (LOD) susulan isu itu.
Sementara itu, Faris berkata matlamat utama Nafas tetap sama, iaitu untuk menjaga kebajikan dan membangunkan sosioekonomi ahli-ahli Peladang serta memperkasa sektor pertanian negara.
"Kami berusaha untuk memastikan Nafas menjadi sebuah organisasi yang lebih berdaya saing dan efektif, selari dengan kepentingan dan kehendak komuniti pertanian dan agenda keterjaminan makanan negara amnya," katanya.